Aura podium Khairulnizam, rakan sepasukan

Dari kiri, Ahmad Faizul ; Khairulnizam; Ahmad Hakhimi dan Asri meraikan kejayaan menduduki tempat ketiga di Piala ASAF Keelboat dan Kejohanan Layar Antarabangsa Boryeong 2022 di Korea Selatan.
Dari kiri, Ahmad Faizul ; Khairulnizam; Ahmad Hakhimi dan Asri meraikan kejayaan menduduki tempat ketiga di Piala ASAF Keelboat dan Kejohanan Layar Antarabangsa Boryeong 2022 di Korea Selatan.
A
A
A

KEJAYAAN menaiki podium dalam pertandingan di Korea Selatan disifatkan motivasi terbaik menjelang siri akhir Piala Emas Star Sailors League (SSL) di Bahrain hujung Oktober depan.

Menurut pelayar negara, Khairulnizam Mohd Afendy, kejayaan mengakhiri perlumbaan Kelas J70 di tempat ketiga pada Isnin, membolehkan beliau dan rakan sepasukan menutup saingan Piala ASAF Keelboat dan Kejohanan Layar Antarabangsa Boryeong 2022 dengan status podium.

“Alhamdulillah, syukur kejayaan mengakhiri saingan dengan status podium secara tidak langsung memberi motivasi kepada persediaan mengharungi siri akhir Piala Emas Star Sailors League (SSL) di Bahrain.

“Kita cuba menyertai seberapa banyak kejohanan dalam masa terdekat untuk memastikan pasukan berada dalam prestasi terbaik sebelum kejohanan SSL menyingkap tirai.

“Saya ucap terima kasih kepada penaja, Lets Play, Oakley Malaysia, MSN (Majlis Sukan Negara), KBS (Kementerian Belia dan Sukan), Jabatan Kebajikan dan Masyarakat Negeri Daerah Kuantan selain pasukan SSL Malaysia yang membiayai kos ke kejohanan di Korea ini," ujarnya.

Untuk rekod, Khairulnizam meraih kejayaan tersebut bersama tiga lagi kru pasukan bekas atlet kebangsaan Asri Azman; Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuantan, Ahmad Faizul Aswad Mohamed dan Pegawai Kementerian Belia dan Sukan, Ahmad Hakhimi Ahmad Shukri.

Untuk rekod, sebanyak 10 bot dari 10 negara iaitu Korea, Malaysia, India, Filipina, Singapura, Thailand, New Zealand, Perancis, Itali dan Denmark bersaing pada kejohanan kali ini.