PDRM buat permohonan bawa pulang 'Jho Low 2'

Wooi Huat.
Wooi Huat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses permohonan untuk membawa pulang ahli perniagaan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Thailand, Jumaat lalu ke negara ini bagi membantu siasatan kes penipuan.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Wooi Huat adalah individu yang disiasat PDRM mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Wooi Huat kini ditahan oleh pihak berkuasa Thailand. PDRM sedang dalam proses permohonan untuk Wooi Huat dihantar pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Sabtu, media Thailand melaporkan pihak berkuasa negara itu menahan Teow Wooi Huat atau dikenali sebagai Teddy Teow, kerana didakwa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram hasil aktiviti perjudian dalam talian di selatan Thailand.

Teddy Teow, 55, dilaporkan ditahan di ibu pejabat syarikatnya, MBI Group di Danok berhampiran sempadan daerah Sadao, awal pagi Jumaat lalu.

Bernama pada hari sama melaporkan, visa lelaki terbabit dibatalkan dan sedang menunggu untuk diusir keluar oleh pihak berkuasa Thailand.

Penguasa Polis Sadao, Kolonel Bunthaeng Laocharoen dipetik berkata, Teddy Teow yang juga pengasas MBI Group International, sudah diserahkan kepada Polis Imigresen di Songkhla dan kemudian dipindahkan ke Pejabat Imigresen Suan Plu di Bangkok.

Dalam pada itu, Bunthaeng menafikan laporan media bahawa Teddy Teow ditahan di wilayah selatan Songkhla pada Jumaat lalu atas tuduhan berhubung pengubahan wang haram yang mempunyai kaitan dengan perniagaan perjudian dalam talian di Danok, Sadao.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Teddy ada dalam senarai Notis Merah Interpol dan dipanggil bagi dimaklumkan visanya dibatalkan dan tidak akan didakwa di Thailand.

Teddy Teow dianggap sebagai 'Jho Low 2', perancang utama penyelewengan wang berbilion dolar daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 3 Januari lalu, bekas Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sidang media memberitahu polis sedang mengesan tiga perancang utama penipuan Macau Scam menerusi pembelian hartanah bernilai RM336 juta di Pulau Pinang.

Beliau berkata, Teddy Teow berperanan sebagai pembeli yang berurusan dengan syarikat pemaju manakala dua anaknya Teow Ee Meng, 30, dan Teow Chee Chow, 32, pula adalah dua 'proksi' yang juga pengarah syarikat bagi Tuah Semenanjung Sdn Bhd dan MBI Properties Sdn Bhd.

Ia susulan laporan siasatan awal diterima Ogos tahun lalu di Pekan Nanas, Pontian, dan Nusa Bestari, Iskandar Puteri, membawa kepada pembongkaran kegiatan sindiket itu, seterusnya tangkapan 12 individu tempatan yang juga pengarah syarikat berusia antara 29 hingga 68 tahun, pada 3 hingga 21 Disember lalu.

Ayob dilaporkan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Johor menubuhkan satu pasukan khas menerusi Ops Pelican 2.0 bagi menjalankan siasatan secara intensif untuk mengesan aliran wang mangsa kepada sindiket Macau Scam terbabit.

Sindiket berkenaan dipercayai menggunakan wang hasil penipuan untuk membeli 100 unit kondominium mewah dan unit komersial bernilai RM336 juta di Georgetown, Pulau Pinang selain disalurkan untuk jual beli mata wang kripto.

Siasatan lanjut mendedahkan sindiket berkenaan menerima wang berjumlah RM25 juta menerusi akaun keldai daripada 91 akaun bank berbeza, iaitu 18 akaun peribadi dan 73 akaun bank milik syarikat sejak Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, Teddy Teow dikatakan berjaya meloloskan diri ke Danok, Thailand manakala dua lagi anaknya dipercayai masih berada di dalam negara.

Difahamkan, lelaki itu juga dikehendaki kerana mempunyai kaitan dengan kes pengubahan wang haram berjumlah RM336 juta (AS$83 juta) di Macau.