Identiti pemandu BMW rentung belum dikenal pasti

Anggota bomba melakukan kerja-kerja menyelamat dalam kemalangan empat kenderaan di Bakar Batu, Johor Bahru, pada Isnin.
Anggota bomba melakukan kerja-kerja menyelamat dalam kemalangan empat kenderaan di Bakar Batu, Johor Bahru, pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Identiti pemandu kereta BMW yang rentung dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan sebelum terbakar berhampiran jambatan Permas Jaya menghala ke Bakar Batu di sini pada Isnin masih belum dikenal pasti.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pada masa ini proses bedah siasat masih dijalankan dan mangsa merupakan seorang lelaki.

Beliau berkata, proses tersebut mengambil masa kerana kejadian itu menyebabkan pemandu kereta mewah tersebut rentung manakala kereta pula terbakar sepenuhnya.

"Kejadian pada jam 6.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila kereta BMW berkenaan dari arah pusat bandar menghala ke Permas Jaya telah terbabas ke kanan jalan dan masuk ke laluan bertentangan.

"BMW itu kemudiannya melanggar sebuah van yang dipandu lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 40-an. Pada masa sama terdapat dua kenderaan di belakang van terbabit tidak sempat mengelak dan telah terlanggar belakang van itu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, akibat pelanggaran itu, BMW dan van telah terbakar 100 peratus manakala Produa Myvi terbakar pada bahagian hadapan enjin.

Menurutnya, Honda City yang turut terlibat dalam kemalangan itu hanya mengalami kerosakan sedikit pada bahagian hadapan sebelah kanan.

"Pemandu van terbabit yang dalam keadaan kritikal kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini. Dua lagi mangsa iaitu pemandu Myvi dan Honda City tidak mengalami sebarang kecederaan. Tindakan mengesan waris dan saksi sedang dijalankan," katanya.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, beliau meminta pihak yang merakam video kejadian serta saksi tampil ke Balai Trafik Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan dengan menghubungi Inspektor Goh Tek Huang 017-9479982.