Suami cedera ditumbuk lelaki dituduh goda isteri

Foto hiasan. - Gambar kecil: Muhamad Zaki
Foto hiasan. - Gambar kecil: Muhamad Zaki
A
A
A

TANAH MERAH - Angkara berang dituduh mengoda isteri orang lain, seorang lelaki bertindak menumbuk suami wanita berkenaan sehingga cedera dalam kejadian di Stesen Teksi di sini pada Ahad.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam kejadian jam 6 petang itu, suami kepada wanita berkenaan telah bertemu dengan suspek yang berusia 42 tahun di rumah mangsa.

"Pertemuan itu telah menyebabkan berlaku perselisihan faham sehingga menyebabkan suspek bertindak menumbuk pipi kanan mangsa yang berusia 35 tahun menggunakan tangan kiri sebanyak sekali," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kejadian tersebut menyebabkan mangsa mengalami bengkak pada pipi kanan.

Katanya, perselisihan faham tersebut dikatakan berpunca daripada tuduhan suspek menggoda isteri mangsa sedangkan lelaki berkenaan menafikan perkara tersebut.

Muhamad Zaki berkata, suspek mengakui rapat dengan isteri mangsa disebabkan hubungan sepupu antara mereka.

"Suspek telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk diambil keterangan.

"Suspek mengaku berbuat demikian dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya