Agong zahir harapan UniPSAS jadi universiti Islam tersohor

Al-Sultan Abdullah mengurniakan watikah pelantikan sebagai Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) kepada Tengku Hassanal (kiri) pada Majlis Pemasyhuran UniPSAS hari ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (kanan). - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah mengurniakan watikah pelantikan sebagai Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) kepada Tengku Hassanal (kiri) pada Majlis Pemasyhuran UniPSAS hari ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (kanan). - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, menzahirkan harapan agar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) terus menempa nama menjadi unversiti islam tersohor dan melahirkan graduan berkualiti untuk menjadi pelapis golongan alim ulama.

Seri Paduka Baginda bertitah, bagi menyemarakkan syiar Islam dalam bidang pendidikan, UniPSAS yang bermula sebagai sebuah kolej kecil pada tahun 1996, perlu terus meneroka bidang pengajian yang baharu serta menjalin hubungan strategik dengan universiti lain termasuk di luar negara.

"UniPSAS juga hendaklah menjadi contoh dan teladan sebagai sebuah universiti Islam yang ditadbir dengan cekap, telus dan berintegriti.

"Menerusi pemasyhuran ini, beta yakin nama UniPSAS akan lebih dikenali dan membawa UniPSAS menjadi universiti berwibawa dalam pengajian agama serta menjadi pilihan utama sebagai destinasi untuk menyambung pengajian bagi anak muda terutamanya daripada lepasan sekolah menengah agama," titah Seri Paduka Baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian semasa mencemar duli menyempurnakan Majlis Pemasyhuran UniPSAS di sini hari ini. Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut berangkat ialah anakanda Seri Paduka Baginda iaitu Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah selain majlis turut dihadiri barisan pentadbiran Pahang yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah juga berkenan mengurniakan watikah pelantikan sebagai Canselor UniPSAS kepada Tengku Hassanal dan Tengku Amir Nasser sebagai Pro-Canselor II manakala Wan Rosdy dilantik sebagai Pro-Canselor I universiti tersebut.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah menerusi Titah Diraja juga berkongsi bahawa UniPSAS 'sangat dekat' di hati kerana penubuhan dan pembangunannya sangat sinonim serta berkait rapat dengan Almarhum Ayahanda Seri Paduka iaitu Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah yang sentiasa prihatin dengan pembangunan institusi pendidikan itu.

Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Majlis Pemasyhuran Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) hari ini. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Majlis Pemasyhuran Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) hari ini. - Foto Bernama

"Beta telah menunaikan impian Almarhum (Sultan Ahmad Shah) untuk membangunkan sebuah kolej Islam di Pahang menjadi universiti Islam. Beta ingin berpesan kepada Canselor dan seluruh pimpinan serta ahli pengarah untuk terus bekerja memajukan UniPSAS agar namanya terus tersohor sebagai universiti Islam terunggul di negara ini," titah Seri Paduka Baginda.

Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan rasa syukur dengan penubuhan Akademi Hadis UniPSAS untuk membudayakan budaya hadis dalam masyarakat serta Institusi Jawi yang bertujuan memperkasakan tulisan jawi, dengan kedua-duanya merupakan cetusan idea Seri Paduka Baginda.

Sejarah UniPSAS bermula pada tahun 1996 dengan kumpulan pertama seramai 67 pelajar sebelum dikenali sebagai Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) pada November 2000 dan dinaik taraf sebagai Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) pada 20 Okt 2015.

KUIPSAS dinaik taraf secara rasminya sebagai UniPSAS pada 1 Dis 2021 yang menjadikannya sebagai universiti penuh pertama milik kerajaan negeri Pahang, dengan menawarkan pengajian daripada peringkat diploma hingga doktor falsafah. - Bernama