Permohonan ATR melonjak 210 peratus pada suku kedua 2022: Mavcom

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) merekodkan lonjakan 210 peratus dari segi permohonan Hak Trafik Udara (ATR) pada suku kedua 2022 daripada angka yang dicatatkan pada tempoh yang sama 2021.

Menurutnya, ia berjumlah 32 permohonan yang meliputi 28 permohonan bagi laluan udara antarabangsa dan empat bagi laluan udara domestik, sekali gus menunjukkan peningkatan permohonan ATR sebanyak 47.6 peratus daripada angka pada suku pertama 2022

"Peningkatan ketara ini didorong oleh pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia pada April 2022 serta inisiatif syarikat penerbangan untuk mengembangkan rangkaian antarabangsa mereka sejajar dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa oleh negara-negara lain,” jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.

Mavcom hari ini mengeluarkan laporan ATR suku tahunan yang memperincikan peruntukan ATR untuk sektor penerbangan awam Malaysia bagi tempoh 1 April hingga 30 Jun, 2022.

Laporan ATR dikeluarkan secara berkala dan maklumat lanjut boleh didapati di Mavcom.

Suruhanjaya itu menambah, peningkatan permohonan ATR pada suku kedua 2022 disokong lagi oleh keputusan syarikat-syarikat penerbangan untuk meneroka sektor baharu dalam usaha mengukuhkan rangkaian penerbangan mereka.

"Ini dilihat dengan permohonan ATR untuk beberapa laluan udara baharu dari lapangan terbang sekunder di Malaysia iaitu dari Johor Bahru dan Pulau Pinang, ke destinasi-destinasi di ASEAN.

"Suruhanjaya juga membuat penekanan bahawa terdapat peningkatan dari segi kekerapan kapasiti penerbangan ke Australia dan New Zealand oleh syarikat penerbangan Malaysia, melalui kebebasan udara kelima dari Indonesia ke Australia, serta Australia ke New Zealand,” menurutnya.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata dalam usaha melakar arah tuju dalam tempoh pascapandemik, pihaknya terus komited dalam melaksanakan peranan sebagai pengawal selia komersial dan ekonomi industri penerbangan awam di Malaysia.

Beliau berkata landskap sektor penerbangan kekal mencabar namun, Mavcom gembira untuk melaporkan bahawa terdapat peningkatan permohonan ATR yang sihat, dan ini menandakan pemulihan yang stabil bagi syarikat-syarikat penerbangan.

"Tambahan pula, Mavcom amat berbesar hati dan menyokong keputusan syarikat penerbangan untuk meneroka sektor-sektor baharu sebagai sebahagian daripada strategi pemulihan mereka dengan pemberian kelulusan ATR bagi laluan-laluan baharu seperti Pulau Pinang ke Denpasar, Phnom Penh dan Pekanbaru dan juga Johor Bahru ke Phnom Penh, Pekanbaru dan Kualanamu,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Bagi suku yang ditinjau, Mavcom telah meluluskan 31 daripada 32 permohonan ATR yang diterima daripada syarikat penerbangan, dan ini menunjukkan kadar kelulusan sebanyak 96.8 peratus.

Kadar kelulusan tersebut adalah lebih tinggi berbanding dengan kadar kelulusan yang dilaporkan bagi suku pertama 2022, iaitu sebanyak 95.4 peratus, jelas suruhanjaya itu.

"Daripada 31 kelulusan ATR tersebut, AirAsia telah menerima jumlah kelulusan ATR tertinggi dengan 11 ATR, diikuti oleh Batik Air Malaysia dan AirAsia X, yang masing-masing menerima tujuh dan enam kelulusan ATR,” menurutnya.

Sementara itu, sektor kargo pula mencatat penurunan marginal.

Jumlah ATR yang diberikan bagi penerbangan kargo hanya 29 peratus daripada jumlah ATR yang dikeluarkan pada suku kedua 2022, berbanding dengan jumlah ATR yang diberikan bagi penerbangan kargo pada suku kedua 2021 yang mewakili 90 peratus daripada keseluruhan ATR yang diberikan.

Penelitian Mavcom menunjukkan bahawa pengurangan tersebut dapat dikaitkan dengan peningkatan semula perkhidmatan penerbangan penumpang yang membawa bersamanya kapasiti kargo ruang perut.

"Bagaimanapun, suruhanjaya memaklumkan bahawa kadar pengangkutan udara kargo kekal lebih tinggi daripada kadar sebelum pandemik Covid-19, dan kekurangan kapasiti kargo di pasaran tertentu turut menandakan potensi pertumbuhan sektor penerbangan kargo,” jelasnya. - Bernama