Empat hospital terima sumbangan dari SPPP

Tiek Cheng (empat,kiri) bergambar bersama wakil hospital selepas menyerahkan sumbangan dari SPPP.
Tiek Cheng (empat,kiri) bergambar bersama wakil hospital selepas menyerahkan sumbangan dari SPPP.
A
A
A

GEORGETOWN - Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) menyampaikan sumbangan RM48,000 kepada empat buah hospital di negeri ini bagi membantu menyediakan kemudahan perubatan yang lebih selesa di hospital kerajaan.

Pengerusinya, Datuk Tan Teik Cheng berkata, sumbangan yang diberikan susulan daripada baki lebihan kos operasi pelaksanaan program Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) sektor pengangkutan oleh SPPP pada tahun lalu.

Menurutnya, pelaksanaan PPVIN itu melibatkan caj RM60 yang dikenakan kepada 5,434 penerima vaksin terdiri daripada petugas barisan hadapan di Pelabuhan Pulau Pinang.

"SPPP telah menjalankan tanggungjawab dengan baik dalam pelaksanaan program tersebut tanpa mengambil sebarang keuntungan.

"Sebaliknya, SPPP menggunakan baki lebihan tersebut dalam bentuk sumbangan kepada hospital mengambil kira ia merupakan inisiatif tanggungjawab sosial kami bersama komuniti pelabuhan dalam membantu menyediakan kemudahan perubatan yang selesa di hospital awam," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Teik Cheng berkata, empat buah hospital awam yang menerima sumbangan terbabit ialah Hospital Kepala Batas, Hospital Bukit Mertajam, Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya yang masing-masing menerima sumbangan RM12,000.