Tiada petunjuk baharu kehilangan Zalina Azman

Polis tidak menemui sebarang petunjuk baharu mengenai kehilangan Zalina Azman.
Polis tidak menemui sebarang petunjuk baharu mengenai kehilangan Zalina Azman.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menjalankan siasatan merangkumi pelbagai aspek berkaitan kehilangan bekas personaliti TV3, Zalina Azman sejak November tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, bagaimanapun, pihaknya tidak menemui sebarang petunjuk baharu setakat ini.

"Berkaitan kerja-kerja pengubahsuaian rumah Zalina Azman, ia sudah lama dijalankan, jadi mungkin agak sukar kita nak kesan pekerja-pekerja yang terlibat.

"Setakat ini status masih sama, kita tiada petunjuk baharu, Kertas Enkuiri Polis (KEP) akan diteruskan," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Isnin.

Pada Isnin minggu lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam mengeluarkan hebahan mengenai kehilangan Zalina Azman.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan berkaitan kehilangan Zalina Azman dibuat anak mangsa yang mendakwa gagal menghubungi ibunya sejak 24 November 2021.