'Ronaldo bukan untuk dijual' - Ten Hag

Ten Hag - Foto thepeopleperson.com (kiri), Ronaldo - Foto weallfollowunited.com
Ten Hag - Foto thepeopleperson.com (kiri), Ronaldo - Foto weallfollowunited.com
A
A
A

BIARPUN kelab La Liga, Atletico Madrid dikatakan bersedia melepaskan penyerang Perancis, Antoine Griezmann dalam usaha mendapatkan Cristiano Ronaldo daripada Manchester United, namun pengendali United, Erik ten Hag sekali lagi menegaskan bahawa bintang Portugal itu bukannya untuk ‘dijual.’

Bagaimanapun, Ten Hag tidak memberikan komen lanjut mengenai status Ronaldo bersama skuad The Red Devils itu dan mengatakan pihaknya akan berurusan dengan pemain berkenaan tidak lama lagi.

“Sama seperti minggu lalu, tidak ada apa-apa perkembangan terkini yang dapat saya katakan mengenainya (Ronaldo).

“Ketika ini fokus adalah kepada pemain-pemain sedia dan saya boleh katakan mereka telah beraksi dengan cukup baik.

“Malah, kesemua pemain berkenaan dilihat berada pada tahap kondisi kecergasan serta momentum yang baik ketika ini...oleh itu lebih baik saya memberikan fokus kepada mereka sebelum berurusan dengan Ronaldo,” katanya.

Untuk rekod, Ronaldo kini difahamkan berada di kediamannya di Lisbon dan hanya menunggu ‘arahan’ daripada ejennya sama ada untuk kembali ke Old Trafford atau menerima tawaran pasukan lain, seperti Atletico Madrid.

Bagaimanapun, perkembangan terbaharu menyaksikan pemain berusia 37 tahun itu dibenarkan untuk 'dipinjamkan' kepada pasukan yang berminat.

Sementara itu Ten Hag berkata, kesebelasan pemain dilihat hilang fokus pada aksi pra-musim berdepan Aston Villa pada Ahad dan menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Katanya, biarpun mendahului 2-0, tetapi kehilangan fokus menyaksikan Aston Villa berjaya bangkit mengikat kedudukan.

“Bola sepak adalah sukan yang sentiasa penuh dengan kesilapan...oleh itu tugas pemain adalah untuk meminimumkan kesilapan-kesilapan berkenaan.

“Biarpun ada progres yang ditunjukkan pemain, namun saya berkata kepada mereka (pemain) bahawa tidak boleh lagi ‘hilang fokus’ selepas ini,” katanya.