Jabatan Penjara sasar kadar jenayah berulang banduan bawah 10 peratus

Datuk Nordin Muhamad - Foto Bernama
Datuk Nordin Muhamad - Foto Bernama
A
A
A

KAJANG - Jabatan Penjara Malaysia menyasarkan kadar residivis atau jenayah berulang oleh bekas banduan seluruh negara akan turun kepada 10 peratus berbanding 15 peratus pada masa ini.

Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad berkata, perkara itu akan dapat dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun lagi iaitu selari dengan pelbagai program pemulihan termasuk pelancaran Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusiaan di 42 penjara seluruh negara.

Beliau berkata, kewujudan pusat tersebut dapat membawa budaya baharu dalam kalangan warga kerja Jabatan Penjara selaras dengan matlamat ketiga sistem kepenjaraan yang ditetapkan dalam Mandela Rules iaitu tujuan penjara adalah memastikan keselamatan masyarakat terlindung daripada menjadi ‘musuh mass depan’.

"Konsep ini sebenarnya membawa erti kepada kita sebagai keluarga Malaysia kerana setiap kesalahan yang dilakukan penjenayah pasti akan mewujudkan mangsa dan boleh jadi kita semua akan menjadi mangsa sekiranya aktiviti jenayah tidak dikawal dan minda penjenayah tidak dirawat.

"Kita mahu jadikan penjara ini sebagai persekitaran yang sihat, banduan yang berkomunikasi dan mewujudkan budaya manusia beradab...kita tidak mahu elemen penjara itu dibawa keluar iaitu jika kita melayan mereka seperti penjenayah, mereka juga akan keluar seperti penjenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pusat Pembangunan Peradaban Budaya di Ibu Pejabat Jabatan Penjara di sini hari ini.

Nordin berkata, seramai 76 pegawai dan 1,050 anggota berjaya melengkapkan sesi latihan yang dikendalikan oleh tiga wakil daripada Her Majesty Prison and Probation Services United Kingdom bagi memastikan matlamat mewujudkan Pusat Pembangunan Peradaban Budaya dapat dilaksanakan dengan baik kepada warga kerja jabatan dan banduan. - Bernama

Artikel Berkaitan: