[VIDEO] KPDNHEP teliti cadangan GLC bungkus minyak masak peket

minyak masak peket . - Gambar hiasan
minyak masak peket . - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedia meneliti cadangan supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengambil tanggungjawab sebagai pembungkus minyak masak peket bersubsidi.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pertimbangan tersebut dibuat sebagai salah satu usaha mengurangkan ketirisan termasuk penyeludupan terhadap minyak masak bersubsidi itu.

“Peranan GLC untuk menjadi pembungkus kepada minyak masak ini kita cuba lihat bagaimana cara untuk memastikan mereka boleh menyumbang kepada (mengatasi) masalah ketirisan dan kebocoran minyak masak ke luar negara,” katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang meminta penjelasannya mengenai indeks ketirisan, jumlah kuota syarikat yang ditarik kerana menyeleweng serta peranan GLC sebagai pembungkus minyak masak peket.

Menurut Rosol, setakat ini sekurang-kurangnya 14 syarikat pembungkus minyak masak telah ditarik balik lesen dan dihadapkan ke mahkamah kerana kegiatan penyeludupan minyak masak ke negara jiran.

Sementara itu, menjawab soalan asal Ahmad Jazlan berhubung sama ada kementeriannya bercadang meneruskan subsidi minyak masak tulen botol sehingga penghujung tahun ini bagi mengurangkan bebanan rakyat, Rosol berkata, kerajaan telah bersetuju supaya subsidi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol ini tidak lagi diteruskan mulai 1 Julai 2022.

“Namun, penamatan subsidi minyak masak sawit tulen dalam botol bukan bermaksud kerajaan tidak prihatin bebanan rakyat berikutan kos barangan mentah yang mengalami kenaikan mendadak.

“Sehingga hari ini, kerajaan masih meneruskan Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) iaitu subsidi minyak masak dalam pek polibeg 1 kilogram (1kg) dengan harga jualan runcit RM2.50,” katanya.