Penganggur ditahan disyaki merompak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RAUB - Seorang penganggur ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes rompak dan membakar kedai hingga mencederakan seorang wanita warga Indonesia dalam kejadian di Felda Tersang 1, di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 50 tahun itu ditangkap kira-kira jam 7.15 petang pada Ahad di kawasan ladang Felda Sungai Koyan, Kuala Lipis.

"Polis merampas sebuah beg warna hitam, wang tunai RM1420.00, seutas gelang tangan emas berloceng, dua utas gelang tangan emas dan pemetik api," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Kata Kama Azural lagi, suspek merupakan seorang penagih dadah dan mempunyai 10 rekod lampau bawah kesalahan dadah serta empat rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah.

"Soal siasat awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian merompak hingga mendatangkan kecederaan serta khianat dengan api yang sedang disiasat serta bertindak bersendirian.

"Suspek akan dibawa ke mahkamah pada 25 Julai untuk permohonan reman," katanya.

Menurut Kama Azural, suspek diberkas oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, Balai Polis Cheroh, Raub dan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Pahang.