Sanggup berpanas beli barangan keperluan hari akhir AKM

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan di khemah jualan Keluarga Malaysia sempena Program Jelajah AKM Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV hari ini. - Foto Bernama
Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan di khemah jualan Keluarga Malaysia sempena Program Jelajah AKM Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Cuaca panas tidak mematahkan semangat pengunjung untuk membeli barangan keperluan asas di program Lelongan Jualan Keluarga Malaysia sempena hari terakhir Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Kelantan, di Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

Lelongan Keluarga Malaysia yang diadakan di reruai Coop Mart di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia, mula dipenuhi pengunjung kira-kira 12 tengah hari meskipun jualan murah itu hanya bermula pada 1 tengah hari.

Bagi Ariffin Mat Isa, 47, dari daerah ini sanggup menunggu di hadapan reruai tersebut seawal 10 pagi di hadapan reruai tersebut, untuk menikmati promosi harga yang ditawarkan menerusi program itu.

"Saya datang ke sini untuk membeli barangan keperluan seperti beras, telur, milo dan ayam... saya ambil peluang ini untuk menambah bekalan di rumah kerana mempunyai keluarga yang besar,” katanya kepada Bernama.

Aiksalwana Yusof, 53, turut mengambil peluang membeli beras menerusi Lelongan Jualan Keluarga Malaysia, selepas mengetahui mengenai program itu dari rakannya.

"Saya datang untuk periksa gigi dekat klinik pergigian berdekatan, tetapi selepas dengar dari kawan mengenai program ini terus saya datang sini untuk beli beras,” katanya yang berasal dari Kota Bharu.

Orang ramai memenuhi khemah jualan Keluarga Malaysia. - Foto Bernama
Orang ramai memenuhi khemah jualan Keluarga Malaysia. - Foto Bernama

Dalam pada itu, Wan Rusmayaty Wan Hussin, 45, berkongsi rasa puas selepas membeli barangan seperti empat pek Mi Segera, empat tin sardin, dua pek minyak dan dua pek milo dengan berharga RM71.90.

"Barangan di sini sangat murah dan jenis barangan yang dijual memang susah untuk dapat dekat luar. diharapkan kerajaan dapat teruskan program seperti ini kerana ianya dapat banyak membantu semua golongan.

Pengerusi Koperasi Warga Universiti Sains Malaysia Kelantan, Dr Mat Said Ismail berkata, program itu merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), dengan memberikan 35 peratus potongan harga.

Katanya, program ini jelas dapat memberi manfaat kepada pengunjung kerana dapat menikmati barangan asas dengan harga murah berbanding di kedai runcit mahupun kilang. - Bernama