Terus dapat kerja lepas temu duga

Pencari kerja dibantu petugas sedang melakukan pendataran secara dalam talian pada Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Pencari kerja dibantu petugas sedang melakukan pendataran secara dalam talian pada Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pencari kerja yang menyerbu Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 anjuran Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, teruja dan gembira apabila ramai antara mereka terus diterima bekerja sejurus selesai ditemu duga.

Orang kurang upaya (OKU) pertuturan dan pendengaran, Muhammad Ridzuan Naina, 33, dari Semenyih berkata, dia terkejut kerana dimaklumkan terus diterima bekerja selepas mencuba beberapa sesi temu duga bersama majikan yang menyertai ekspo berkenaan.

"Syukur sangat sebab saya dapat kerja sebagai kerani di sebuah syarikat peralatan keselamatan di Cheras lepas sembilan bulan berusaha cari kerja.

"Sebelum ni saya juga kerja kerani di Batu Caves, tapi sebab Covid-19 dan tempat kerja jauh dari rumah, saya terpaksa berhenti," katanya ketika ditemui pada ekspo kerjaya itu pada Ahad.

Ekspo kerjaya tersebut diadakan selama lima hari bermula Sabtu hingga Rabu ini dan perasmiannya akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin.

Muhammad Syamil Mohd Ridzuan, 22, dari Wangsa Maju pula berkata, dia bersyukur kerana ditawarkan jawatan sebagai pembersih kabin pesawat di Lapangan Terbang Subang dengan sebuah syarikat swasta sebaik sahaja selesai ditemu duga.

Muhammad Syamil Mohd Ridzuan
Muhammad Syamil Mohd Ridzuan

"Memang tak sangka saya terus dapat kerja dan mereka minta saya laporkan diri minggu depan.

"Sejak setahun lalu saya tak ada kerja tetap dan terpaksa kerja sementara sebagai penghantar makanan GrabFood. Jadi saya anggap rezeki ini adalah 'tuah' saya datang ke eskpo ini," ujarnya.

Sementara itu, jurutera dari Pengerang, Johor, Ahmad Haziq Danial Yusaini, 26, memberitahu, dia diterima masuk ke sebuah syarikat gergasi minyak dan gas dengan gaji lebih tinggi dari yang diterimanya sekarang.

"Ekspo kerjaya ini membuka peluang kepada pekerja yang dah ada pengalaman untuk tingkatkan lagi kerjaya manakala bagi graduan dan pelajar lepasan sekolah mereka dapat cari kerja," jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso, Azirruan Arifin memberitahu, lebih 30,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi ekspo berkenaan yang menghimpunkan kira-kira 1,000 majikan sekali gus menjadi ekspo kerjaya terbesar dianjurkan di negara ini setakat ini.

"Sebanyak 70 peratus pekerjaan yang ditawarkan adalah jawatan bukan eksekutif dan 30 peratus lagi eksekutif. Oleh itu datanglah beramai-ramai kerana peluang kerja yang ditawarkan adalah adil dan saksama kepada semua Keluarga Malaysia," katanya.