Eksport biji koko, produk dijangka meningkat

Jeck Seng (tengah) melihat produk yang dipamerkan di Pusat Keusahawanan Coklat Tanjung Piai di Pekan Nanas pada Ahad.
Jeck Seng (tengah) melihat produk yang dipamerkan di Pusat Keusahawanan Coklat Tanjung Piai di Pekan Nanas pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN - Eksport biji koko dan produk terus menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan nilai sebanyak RM3.02 bilion bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Timbalan Menteri, Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, eksport biji koko dan produk dijangka akan terus meningkat pada tahun ini dipacu oleh permintaan terhadap produk tempatan di pasaran luar negara.

Katanya, produk berasaskan koko seperti serbuk koko di Malaysia mempunyai liputan pasaran yang luas terutama di negara Timur Tengah dan Asia Tenggara selain diterima baik pengguna di peringkat antarabangsa.

"Nilai eksport biji koko dan produk bagi tempoh Januari hingga Mei tahun lalu dicatatkan sebanyak RM2.77 bilion. Ia menunjukkan berlaku peningkatan sebanyak 8.9 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun ini.

"Justeru, saya yakin sehingga akhir tahun ini, jumlah nilai eksport biji koko dan produk akan meningkat sekali gus mengatasi jumlah yang dicatatkan pada tahun lalu iaitu sebanyak RM 6.87 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perasmian Pusat Keusahawanan Coklat Tanjung Piai di Pekan Nanas pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Koko Malaysia, Rahimah Majid.

Jeck Seng ( tengah) melancarkan Pusat Keusahawanan Coklat Tanjung Piai di Pekan Nanas pada Ahad.
Jeck Seng ( tengah) melancarkan Pusat Keusahawanan Coklat Tanjung Piai di Pekan Nanas pada Ahad.

Jeck Seng yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai berkata, kementerian turut melatih usahawan tempatan mengeluarkan coklat menerusi Pusat Keusahawanan Coklat Tanjung Piai yang dibangunkan bersama Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).

Katanya, Lembaga Koko Malaysia (LKM) juga telah mewujudkan program pembangunan usahawan coklat sejak 1998 dengan menyediakan latihan, insentif peralatan dan mesin dan khidmat nasihat.

"Sehingga kini program ini telah membangunkan seramai 242 usahawan coklat buatan tangan. Jumlah usahawan dijangka terus meningkat 282 orang pada akhir 2025.

"Pada tahun lepas, sektor usahawan coklat dan konfeksi koko telah menyumbang sebanyak RM5.55 juta dan dijangka terus meningkat kepada RM12.5 juta sehingga akhir 2025," katanya.