Penjual ikan larangan guna macam-macam taktik

Pihak DOF merampas spesies ikan larangan alligator gar dan northern pike semasa pemeriksaan di sebuah premis di Ipoh, Perak baru-baru ini.
Pihak DOF merampas spesies ikan larangan alligator gar dan northern pike semasa pemeriksaan di sebuah premis di Ipoh, Perak baru-baru ini.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Guna resit kosong dan penjualan di media sosial antara taktik yang digunakan penggemar atau pengusaha ikan hiasan bagi mengaburi tindakan pihak berkuasa dalam mengesan kegiatan penjualan spesies ikan larangan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, pemilik akaun media sosial yang mempromosikan ikan larangan berperanan sebagai ejen dan tidak mempunyai stok ikan larangan.

Menurutnya, apabila ada pembeli yang berminat, ikan larangan itu akan dihantar secara pos (kurier) dengan menggunakan alamat pengirim yang palsu.

“Selain itu, ada juga dikesan peniaga yang menggunakan resit kosong di mana kebanyakan pemilik premis ikan hiasan yang menjalankan penjualan ikan larangan mendapatkan bekalan daripada pembekal secara penghantaran terus ke kedai.

“Pembekal tidak mendedahkan lokasi syarikat atau tempat penyimpan ikan larangan. Invois bekalan ikan larangan hanya menggunakan resit kosong tanpa nama syarikat, nombor telefon atau apa-apa pengesahan.

“Penguatkuasaan yang dijalankan juga mengesan terdapat pemilik premis yang menjadikan ruang pameran ikan larangan di sudut agak tersorok dan tidak mempunyai label nama spesies.

"Ikan larangan bersaiz besar seperti alligator gar diletakkan di dalam bekas (tangki biru) dan bertutup bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa,” katanya eksklusif ketika ditemui Sinar Harian di Pusat Ikan Hiasan Enggor di sini baru-baru ini.

Permintaan tinggi

Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan ikan larangan ini diseludup dengan cara membawa masuk spesies yang bersaiz kecil bersama dengan ikan hiasan lain.

Beliau berkata, ikan larangan seperti ikan pirana, pacu, silver dollar, peacock bass dan alligator gar antara spesies yang mendapat permintaan tinggi di pasaran ikan hiasan.

Katanya, semua ikan larangan ada nilai dan pengusaha akan mengambil untung besar kerana permintaan ke atas ikan larangan ini tinggi.

“Bentuk fizikal ikan larangan yang menarik dan sifatnya yang agresif sangat disukai peminat ikan hiasan terutamanya ketika feeding time. Ia mempunyai peminatnya yang ramai,” katanya.

Tambah Wan Muhammad Aznan, terdapat beberapa genus dan spesies ikan asing yang dilarang untuk diimport, dijual, dipelihara atau disimpan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah di bawah Akta Perikanan 1985.

DOF mengenal pasti individu yang menjual ikan larangan menerusi laman media sosial.
DOF mengenal pasti individu yang menjual ikan larangan menerusi laman media sosial.

Katanya, penyenaraian ikan larangan adalah atas faktor sifat karnivor ganas, berbahaya, perebakan penyakit dan mengganggu keseimbangan ekosistem hingga mengancam spesies ikan asli.

“Ikan larangan bersifat invasif yang mempunyai ciri pemangsa ganas dan memberi ancaman kepada populasi ikan asli. Ia juga mengundang penyakit terutama bagi genus Salmo (salmon, trout) dan Onchorynchus serta spesies Cherax destructor (udang kara air tawar).

“Kehadiran ikan larangan seperti peacock bass mendominasi kawasan dan memakan anak-anak ikan asli menyebabkan pendaratan ikan asli seperti baung, lampam dan udang galah oleh nelayan darat terjejas,” ujarnya.

DOF laksana operasi

Tambah beliau, bagi tempoh tahun ini sejak Januari hingga 21 Julai, jabatan itu telah melaksanakan 32 operasi dengan 194 pemeriksaan di premis serta ladang ikan hiasan.

“Hasilnya, kita telah merampas 155 ekor ikan larangan pelbagai saiz terdiri daripada pacu, peacock bass, alligator gar, silver dollar dan northern pike dengan nilai berjumlah RM8,310,” katanya.

Katanya lagi, terdapat beberapa syarikat ingin memohon kebenaran menternak, tetapi tidak diluluskan oleh jabatan atas faktor biosekuriti.

“Bagaimanapun, jabatan tidak menolak kemungkinan sudah ada warga tempatan yang menternak ikan larangan secara haram terutama ikan silver dollar, pacu dan peacock bass,” katanya.

Wan Muhammad Aznan berkata, antara lokasi yang terjejas akibat ikan larangan adalah Tasik Timah Tasoh di Perlis, Sungai Pahang dan Sungai Kerian di Perak.

“Kehadiran peacock bass di Timah Tasoh dipercayai dilepaskan oleh segelintir orang awam yang tidak bertanggungjawab. Ikan peacock bass ini cepat membiak dengan memakan anak-anak ikan asli seperti seluang, sebarau dan sepat.

“Di Sungai Pahang dan Sungai Kerian di Perak juga terjejas apabila telah ditemui spesies alligator gar. Ikan ini kemungkinan telah menjejaskan industri udang galah,” ujarnya.

Ujar beliau, jabatan itu telah melaksanakan inventori darat untuk melihat spesies asli apa yang masih ada untuk pendataan.

“Ini membantu kita mengetahui populasi ikan asli di Malaysia dan sebab itu DOF ambil tindakan membuat pelepasan umum seperti ikan baung, kelah dan udang galah agar sungai kita banyak ikan asli,” katanya.

Tegasnya, pihaknya akan terus mempergiatkan lagi usaha membendung aktiviti ikan larangan.

“Tindakan tegas akan diambil kepada pemilik premis ikan hiasan, pembekal ikan larangan atau mana-mana syarikat yang terlibat dengan aktiviti ikan larangan.

“Jabatan juga akan meluaskan lagi Program Pemantauan dan Pengawasan di ladang akuakultur yang terlibat dalam penternakan ikan hiasan mahu pun ikan makan, pemilik persendirian dan penjual atas talian,” ujarnya.