'Apa manfaat saya mengampu Najib?'

Kenyataan Asyraf Wajdi di laman Facebooknya.
Kenyataan Asyraf Wajdi di laman Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menempelak tuduhan sesetengah pihak bahawa beliau sering mengampu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Asyraf Wajdi, beliau menghormati Najib yang banyak berjasa kepada dirinya dan kepada negara ketika menjadi Perdana Menteri.

"Ada orang tuduh saya mengampu beliau. Jawapan saya mudah, apa manfaatnya saya mengampu seseorang yang sudah tiada apa-apa jawatan dan kedudukan?

"Namun, atas dasar hormat dan adab, saya pastinya tidak akan lupa segala jasa beliau, jauh sekali untuk pijak beliau tatkala sudah jatuh tersungkur.

"Sebagai seorang Islam dan Melayu, saya berpegang kepada nilai adab dan prinsip menghormati orang yang pernah berjasa kepada diri kita walau sekecil mana sekalipun bakti dan jasanya," katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Sabtu.

Beliau turut mengucapkan selamat hari lahir kepada Najib yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-69 hari ini (Sabtu).

"Moga ALLAH rahmati dan berkati umur yang tersisa untuk terus berbakti pada agama, nusa dan bangsa. Didoakan juga agar ALLAH permudahkan segala urusan dan mengangkat segala kesusahan dan kesulitan beliau," katanya.