Zainal Abidin GCEO TDM baharu

Zainal Abidin Shariff
Zainal Abidin Shariff
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Anak syarikat milik kerajaan negeri, TDM Berhad mengumumkan pelantikan Zainal Abidin Shariff sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan (GCEO) yang baharu, berkuat kuasa semalam.

Ia susulan tempoh kontrak penyandang sebelum ini, Datuk Mohamat Muda tamat pada 31 Januari lalu.

Pengerusi TDM Berhad, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin berkata, sebagai sebuah syarikat tersenarai, TDM Berhad mempunyai tanggungjawab kepada para pemegang sahamnya untuk mencipta dan menyampaikan nilai.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Zainal Abidin atas pelantikannya. Lebih jauh lagi, kami akan melancarkan Rancangan Penciptaan Nilai (VCP) dan Rancangan Pembangunan Perniagaan (BDP) serta inisiatif lain untuk mengukuhkan kumpulan bagai pertumbuhan yang mampan ke masa depan.

“Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap keupayaannya untuk menghasilkan keputusan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Zainal Abidin, 52, berpengalaman selama 28 tahun dalam sektor korporat, terutamanya dalam pengurusan operasi dan transformasi, kewangan, tadbir urus, cukai dan audit, sekali gus menambahkan jaminan keupayaannya untuk menerajui pertumbuhan konsisten TDM.

Beliau yang berkelulusan Sarjana Kewangan dari RMIT University, Melbourne pada tahun 2006, sebelum ini pernah bertugas dengan Persatuan Penanam Gabungan sebagai Ketua Eksekutif.

“Pengalamannya dalam industri perladangan dan kepakarannya dalam mengatasi perubahan pengurusan adalah kemahiran penting untuk memacu TDM dalam rancangan VCP dan BDP untuk pencapaian agresif mengikut sasaran yang ditetapkan oleh lembaga pengarah,” jelas Raja Idris.

Artikel Berkaitan: