Agong berkenan rasmi Hospital Al Sultan Abdullah UiTM

Al-Sultan Abdullah sambil diperhatikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (kiri) dan Dr Roziah (kanan) menandatangani plak perasmian pada Majlis Perasmian Hospital Al Sultan Abdullah UiTM di Puncak Alam pada Sabtu.
Al-Sultan Abdullah sambil diperhatikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (kiri) dan Dr Roziah (kanan) menandatangani plak perasmian pada Majlis Perasmian Hospital Al Sultan Abdullah UiTM di Puncak Alam pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli merasmikan Hospital Al Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Puncak Alam pada Sabtu.

Keberangkatan tiba Seri Paduka diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut berangkat pada majlis perasmian hospital itu ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman.

Hospital Al Sultan Abdullah UiTM sebelum ini dikenali sebagai Hospital UiTM Puncak Alam berkeluasan 18.4 hektar siap dibina pada tahun 2020 dan mula beroperasi pada 5 April tahun lalu.

Reka bentuk binaan bangunan hospital itu berinspirasikan unsur molekul air zam-zam yang menjadi mercu tanda baharu UiTM dengan menawarkan perkhidmatan rawatan dan kesihatan kepada hampir 1.5 juta rakyat di Selangor dan Perak Selatan.

Selain itu, hospital itu turut menawarkan kepakaran kepada hospital daerah dan komuniti setempat berteraskan visi untuk menjadi sebuah 'Hospital Premier' di rantau Asia Tenggara.

Hospital Al-Sultan Abdullah turut dilengkapi dengan fasiliti terkini meliputi 400 katil di samping bangunan akademik dan perubatan yang boleh memuatkan sehingga 750 penuntut dilengkapi dengan makmal komputer interaktif, makmal kemahiran klinikal dan wad simulasi.

Selain itu, Hospital Al-Sultan Abdullah juga dilengkapi dengan pelbagai kepakaran dan sub kepakaran berteknologi tinggi yang menawarkan perkhidmatan perubatan moden dan canggih untuk pesakit.

Antara perkhidmatan bakal disediakan ialah rawatan kecemasan, trauma dan kritikal, perubatan dalaman, kardiologi, pembedahan am, plastik dan rekonstruksi serta kardiotorasik, ortopedik, rawatan untuk ibu hamil, bayi, remaja dan orang dewasa.

Selain itu, ia juga menawarkan perubatan onkologi, geriatrik, forensik, kesihatan mental, rehabilitasi serta dialisis.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, kewujudan dan pengoperasian Hospital Al-Sultan Abdullah membuktikan bahawa UiTM mampu melangkah lebih jauh khususnya dalam bidang perubatan dan penjagaan kesihatan melalui inovasi dan aktiviti penyelidikan berterusan.

Ujar beliau, UiTM bukan sahaja menyediakan pendidikan tinggi kepada anak bangsa, malah sentiasa berusaha ke arah melahirkan graduan profesional bumiputera dalam pelbagai bidang dan disiplin termasuklah dalam bidang perubatan.

"Selain bertujuan untuk memartabatkan sistem pendidikan perubatan di negara ini, aspirasi ini dapat memenuhi keperluan tenaga kerja profesional dalam bidang berkenaan," katanya.