Negara tidak kekurangan vaksin influenza

Vaksin flu atau influenza boleh didapati di klinik dan hospital di seluruh negara. - Gambar hiasan
Vaksin flu atau influenza boleh didapati di klinik dan hospital di seluruh negara. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Teknikal Program Immunise4Life menegaskan bahawa Malaysia tidak mengalami kekurangan vaksin flu atau influenza.

Pengerusinya, Profesor Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata, vaksin berkenaan boleh didapati di klinik dan hospital di seluruh negara.

“Sejak 8 Julai, beberapa organisasi media berita melaporkan bahawa seorang doktor tanpa nama menerima memo daripada pembekal yang mengatakan bahawa suntikan flu (influenza) hanya akan tersedia pada tahun 2024.

“Ini telah menyebabkan khabar angin tersebar di media sosial bahawa kita menghadapi kekurangan vaksin flu. Pihak media akan mengetahui perkara ini sekiranya mereka memeriksa beberapa klinik bukan hanya memetik daripada sumber yang tidak dinamakan,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Selain itu, Dr Zulkifli menggesa supaya orang ramai mendapatkan suntikan vaksin influenza tahunan mereka khususnya wanita hamil, kanak-kanak kecil, orang yang mempunyai masalah kesihatan kronik dan warga emas.

“Kumpulan berisiko tinggi ini terdedah kepada flu teruk yang boleh mengakibatkan sindrom gangguan pernafasan akut, radang paru-paru, kegagalan pelbagai organ dan kematian.

“Selain menekankan vaksinasi flu, kami juga menggesa orang ramai terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka di kawasan tertutup, kerap mencuci tangan dengan sabun dan air, serta dan penjarakan fizikal," katanya.

Tambah beliau, untuk maklumat lanjut mengenai pencegahan flu, boleh layari https://actoflove.ifl.my.