Kawasan perumahan jadi transit seludup minuman keras

Sebahagian barang kes yang disita. Foto: Ihsan JKDM Negeri Sembilan
Sebahagian barang kes yang disita. Foto: Ihsan JKDM Negeri Sembilan
A
A
A

SHAH ALAM - Taktik sindiket penyeludupan minuman keras menjadikan kawasan perumahan di Taman Cheras Jaya, Seri Kembangan di sini sebagai transit berjaya dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan.

Pengarah JKDM Negeri Sembilan, Mohammad Hafiz Ishak berkata, kegiatan itu dikesan hasil risikan dan maklumat pihaknya dalam operasi dilakukan dengan kerjasama Unit Risikan Khas, Ibu Pejabat JKDM pada 25 April lalu.

"JDKM telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah lori 10 tan yang membawa muatan kanvas dan sebuah lori bonded tiga tan yang berada dalam keadaan berkunci dan mencurigakan berhampiran kawasan perumahan itu.

"Di dalam lori berkenaan telah menemui sebanyak 15,996 botol atau 9,757.56 liter minuman keras pelbagai jenama.

"Kesemua minuman keras yang dijumpai disyaki barang belum lulus Kastam dan barangan larangan import," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebahagian barang kes yang disita. - (Foto JKDM Negeri Sembilan)
Sebahagian barang kes yang disita. - (Foto JKDM Negeri Sembilan)

Menurutnya, modus operandi suspek ialah menyeludup minuman keras yang tidak sah ke kawasan perumahan sebagai tempat transit sebelum ia diedarkan.

"Suspek kemudiannya menggunakan kenderaan pacuan empat roda, van atau kereta untuk mengedar dan menjual minuman keras berkenaan dengan harga murah daripada harga pasaran minuman keras yang sah.

"Kesemua barang eksibit termasuk kedua-dua lori tersebut disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 dan dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976, Seksyen 74 (1)(a) dan Akta Cukai Jualan 2018, Seksyen 86 (1)(e)," katanya.

Sehubungan itu, katanya, masyarakat diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.