Peniaga didakwa bunuh ahli perniagaan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang ahli perniagaan yang ditemukan terbaring berlumuran darah berhampiran keretanya yang diletakkan di luar kawasan perumahan, minggu lepas.

M. Partibekumaran, 37, didakwa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas membunuh Goh Chok Chuan, 63, di kawasan tempat letak kereta berhampiran pondok pengawal Amarin Kiara, antara pukul 11.40 hingga 11.55 malam, 11 Julai lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nom Phot Prackdit manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 29 September ini untuk sebutan semula kes.

Semalam, dua pengawal keselamatan yang difahamkan kenalan kepada tertuduh didakwa di hadapan majistret sama bagi pertuduhan yang sama.

Pada 12 Julai lepas, media melaporkan Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Syukor dalam kenyataan berkata, saksi kejadian mendengar tiga das tembakan dilepaskan sebelum menemukan mayat mangsa.

Beliau berkata, lelaki berkenaan dikatakan bermain mahjung di rumah rakannya di Amarin Kiara dan dilapor ditembak berdekatan keretanya yang diparkir berhampiran pondok pengawal di luar kawasan perumahan itu. - Bernama