[VIDEO] Suami, isteri diberkas dera anak angkat

Pasangan suami isteri masing-masing merupakan warga Singapura dan tempatan diberkas kerana disyaki mendera kanak-kanak berusia empat tahun.
Pasangan suami isteri masing-masing merupakan warga Singapura dan tempatan diberkas kerana disyaki mendera kanak-kanak berusia empat tahun.
A
A
A

KAJANG - Dipukul serta dicucuh dengan pemetik api, itu detik hitam terpaksa ditempuhi seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa dera ibu dan bapa angkatnya dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Beranang dekat sini.

Bagaimanapun penderitaan mangsa yang berumur empat tahun itu berakhir apabila pasangan suami isteri yang masing-masing merupakan warga Singapura dan tempatan itu diberkas dalam serbuan kira-kira jam 2.30 pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya ada menerima laporan daripada seorang lelaki yang menyatakan terdapat satu kes penderaan dan mencederakan kanak-kanak.

"Laporan yang dibuat menyatakan mangsa merupakan anak angkat kepada sepasang suami isteri itu telah dicederakan serta didera.

"Siasatan awal mendapati kejadian disebabkan mangsa tidak suka makan nasi dan suspek memaksa mangsa untuk telan nasi sehingga termuntah, selain itu mangsa juga dikatakan seorang yang hiperaktif," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Zaid berkata, mangsa merupakan anak kepada seorang wanita warganegara Indonesia dan siasatan mendapati kelahiran mangsa tidak pernah didaftarkan serta tiada sebarang dokumen pengenalan diri.

"Mangsa telah diserahkan kepada suspek untuk dijaga sejak April 2022 kerana ibu kandungnya tidak mampu menjaganya dan mangsa dikatakan seringkali dipukul oleh pasangan tersebut.

"Mangsa dipukul menggunakan penyangkut baju, kayu penyapu dan kadang-kadang dicucuh dengan pemetik api," katanya.

Tambahnya, kedua-dua suspek kemudian diberkas dan mangsa yang diselamatkan dalam serbuan itu dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan.

"Mangsa disahkan mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan.

"Suspek wanita merupakan warga tempatan manakala suaminya merupakan warga Singapura berumur 28 dan 30-an itu direman tujuh hari untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak kanak 2001," katanya.

@sinarharianonline Tergamak dera kanak-kanak umur empat tahun! #fyp#TrendingNewsMalaysia#BuletinTikTok#TikTokNews#DeraKanakKanak#MangsaDera original sound Sinar Harian