Perbicaraan penuh kes saman Sundra Rajoo terhadap Tommy Thomas, 12 lain

Sundra Rajoo - Foto Bernama
Sundra Rajoo - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saman yang dikemukakan oleh bekas Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Datuk Profesor Dr N Sundra Rajoo terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan 12 lagi akan didengar pada perbicaraan penuh oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Ini selepas Hakim Datuk Ahmad Bache menolak permohonan Thomas dan 12 lagi untuk membatalkan saman Sundra Rajoo berhubung penahanan serta pendakwaan salah.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohamad Shukri Abdull, beberapa pegawai SPRM dan Timbalan Pendakwa Raya iaitu Khong Hui Li, Mohd Adrian Zaiman Zainiar, Md Yusrin Md Yusof, Mohd Fadhly Mohd Zamry, T. Nesavan, Mr Sharan Raj, Hasmizzy Md Hasim, Kamal Baharin Omar dan Mohd Zaki Mohd Salleh serta SPRM dan kerajaan Malaysia.

Ahmad memutuskan bahawa saman itu bukanlah kes yang sesuai dan wajar untuk dibatalkan kerana ia bukan kes yang mudah kerana fakta naratif dalam pernyataan tuntutan melebihi satu halaman.

"Hujah kedua-dua pihak masih mengenai isu kekebalan dan pemenjaraan salah yang membabitkan persoalan undang-undang. Persoalan undang-undang ini hendaklah dibincangkan pada perbicaraan penuh," katanya dalam prosiding yang dijalankan melalui aplikasi Zoom.

Hakim itu turut memerintahkan kesemua defendan memfailkan pembelaan dalam tempoh 14 hari mulai Khamis dan menetapkan 27 September untuk pengurusan kes.

Defendan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 5 November 2021 atas alasan ia adalah tidak munasabah, remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Pernyataan tuntutan Sundra Rajoo menyatakan bahawa bertindak atas arahan Mohamad Shukri dan Thomas, pegawai SPRM, Mohd Adrian dan Md Yusrin telah menahan beliau secara salah dari 8 malam pada 20 November 2018 hingga 5 petang 21 November 2018 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Beliau mendakwa penahanan itu adalah bercanggah dengan Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

Sundra Rajoo berhujah Mohd Adrian dan Md Yusrin telah menahan beliau walaupun telah dimaklumkan bahawa beliau telah diberikan keistimewaan serta kekebalan ejen diplomatik atas kapasitinya sebagai Pengarah AIAC ketika itu.

Susulan itu, Sundra Rajoo mendakwa beliau telah ditahan reman serta disingkirkan daripada jawatannya sebagai Pengarah AIAC dan akibat penahanan itu, beliau telah diejek manakala reputasinya turut terjejas.

Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi khas berjumlah RM3,749,557.26, ganti rugi teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama