Tangguh kes bukan sebab mahu tekan Syed Saddiq

Syed Saddiq hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis bagi perbicaraan kes yang dihadapinya. - Foto Bernama
Syed Saddiq hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis bagi perbicaraan kes yang dihadapinya. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai penyiasat menafikan di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sengaja melengah-lengahkan pertuduhan terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sehingga enam bulan, untuk memberi tekanan kepada Ahli Parlimen Muar itu supaya menyokong kepimpinan tertentu.

Saksi pendakwaan ke-25, Mohd Syahmeizy Sulong, 37, berkata demikian ketika perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalahgunakan harta serta pengubahan wang haram di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman (JC), Datuk Azhar Abdul Hamid.

Menjawab soalan daripada Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq, Mohd Syahmeizy berkata, pertuduhan tidak dapat dilakukan pada 4 Januari 2021 kerana hanya satu daripada lima kertas siasatan berjaya disiapkan.

Menurutnya, pendakwaan hanya boleh dilaksanakan pada 22 Julai 2021 apabila kesemua kertas siasatan sudah dilengkapkan.

Menyentuh isu tekanan, saksi itu turut menafikan beliau pernah menghubungi Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Armada Bersatu supaya bersedia ke mahkamah untuk dituduh.

Sebaliknya beliau berkata, arahan itu dibuat oleh Ketua Cawangan Siasatan B, dikenali Tuan Abdul Malik.

Gobind: Saya katakan bahawa, pegawai yang sering hubungi Syed Saddiq ialah Penguasa Kanan SPRM, Mohd Ihsan Sapuan.

Mohd Syahmeizy: Tak tahu.

Gobind: Beliau hubungi Syed Saddiq lebih kurang empat kali, supaya ahli Parlimen itu bersedia ke mahkamah untuk dituduh tapi akhirnya tiada pertuduhan.

Mohd Syahmeizy: Tak tahu.

Saksi itu berkata, meskipun tiada pertuduhan namun arahan tangkapan pernah dibuat pada 13 Julai 2021.

Menurutnya, tiada perkara yang pelik dalam perkara itu kerana siasatan ke atas tertuduh telah bermula dengan lima kertas siasatan.

“Semua keterangan berkaitan kertas siasatan terhadap Syed Saddiq perlu diselaras bagi memastikan tiada keterangan bertindih," katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Perbicaraan bersambung esok.