CPOPC main peranan utama promosi agenda kemampanan: Zuraida

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) memainkan peranan utama dalam mengambil langkah proaktif mempromosikan agenda kemampanan dan mengetengahkan semua usaha yang dilakukan oleh Malaysia dan Indonesia, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, majlis itu memainkan peranan penting dalam memastikan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) memberi pengiktirafan sewajarnya kepada agenda kemampanan yang dilaksanakan oleh negara-negara anggota, serta menghentikan semua tuduhan yang tidak berasas terhadap produk dan industri minyak sawit.

Dalam satu kenyataan hari ini, Zuraida turut memberi penekanan bahawa ini adalah masa yang tepat untuk negara-negara pengeluar minyak sawit dengan kerjasama rakan-rakan strategik menjelaskan dan mempamerkan manfaat dan kebaikan daripada minyak sawit.

Bahkan, usaha secara bersama perlu diselaraskan bagi menyampaikan mesej yang kuat, khususnya kepada EU dan AS.

Beliau turut optimis bahawa negara-negara pengeluar minyak sawit mempunyai kawalan dan naratif lebih baik untuk memasarkan minyak sawit di peringkat global.

Menteri itu mempengerusikan Mesyuarat CPOPC ke-10 yang berlangsung pada 18-20 Julai 2022, bersama-sama Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia, Airlangga Hartarto di Bali, Indonesia.

Mesyuarat yang dijalankan secara hibrid itu turut dihadiri oleh wakil negara-negara pemerhati, termasuk Naib Menteri Hal Ehwal Pertanian Colombia, Juan Gonzalo Botero dan Menteri Pertanian dan Ternakan Honduras, Laura Suazo,

"Semasa mesyuarat, CPOPC turut mengambil perhatian terhadap bekalan minyak sayuran global yang semakin terhad akibat ketegangan geopolitik yang berterusan, terutamanya dalam perang Ukraine, yang memburukkan lagi krisis makanan dan memberi kesan inflasi tinggi di seluruh dunia.

"Bahkan, mesyuarat turut mengambil perhatian mengenai kemungkinan pencampuran biodiesel, serta memberi penekanan untuk melihat pemacu pasaran utama bagi baki 2022," kata Zuraida sambil menambah Indonesia dan Malaysia turut bersetuju untuk meningkatkan mandat biobahan api masing-masing kepada B35 untuk Indonesia dan B20 untuk Malaysia bagi kegunaan domestik.

Mesyuarat ini juga mengetengahkan rancangan CPOPC untuk mengadakan Sidang Kemuncak Minyak Sayuran Mampan G20 pada November 2022 bagi menyediakan forum perbincangan mengenai isu-isu utama yang relevan dalam pengeluaran dan perdagangan minyak sayuran global seperti akses pasaran, kemampanan, isu buruh, dan pekebun kecil.

Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi mesyuarat CPOPC ke-11 pada Mac 2023. - Bernama