Sultan Johor tinjau perkembangan projek RTS di Singapura

Sultan Johor (tiga dari kanan) diberi penerangan selepas berkenan berangkat melawat tapak projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link di Terminal Woodlands North, Singapura pada Khamis. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Johor (tiga dari kanan) diberi penerangan selepas berkenan berangkat melawat tapak projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link di Terminal Woodlands North, Singapura pada Khamis. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melawat tapak projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link di Terminal Woodlands North, Singapura pada Khamis.

Sempena lawatan itu, baginda turut berkenan meninjau perkembangan semasa projek berkenaan serta kemajuan kerja-kerja dilakukan yang akan menjadi satu sistem pengangkutan rel baharu menghubungkan Johor-Singapura.

Keberangkatan tiba Sultan Johor dan delegasi sebelum itu disambut Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran.

Baginda tiba di republik itu pada pagi Rabu bagi lawatan rasmi atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Lee Hsien Loong.

Pelaksanaan projek RTS Link itu bukan sahaja memberikan manfaat daripada segi sosio ekonomi malah bakal mengubah landskap pengangkutan awam di Johor, selain terus mengeratkan hubungan dengan Singapura.

RTS Link merupakan sistem transit aliran ringan pertama dibina di Johor Bahru yang mana Johor merupakan pintu masuk utama di selatan negara.

Merangkumi pembinaan laluan sepanjang 4 kilometer menghubungkan Terminal Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North di Singapura, RTS Link dijangka beroperasi pada penghujung tahun 2026.

Pengangkutan rel ini juga dijangka dapat mengurangkan kadar kesesakan di Tambak Johor sehingga 35 peratus dan mampu menampung sehingga seramai 10,000 penumpang setiap jam melalui stesen di Bukit Chagar dan Woodlands.

Projek RTS Link bukan sahaja memberikan manfaat daripada segi sosio ekonomi malah bakal mengubah landskap pengangkutan awam di Johor. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Projek RTS Link bukan sahaja memberikan manfaat daripada segi sosio ekonomi malah bakal mengubah landskap pengangkutan awam di Johor. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Kemudahan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) akan ditempatkan di stesen Woodlands North dan Bukit Chagar, Johor Bahru dan ketika ini kerja-kerja pembinaan berjalan lancar dengan kontraktor di kedua-dua pihak yakin projek itu mampu disiapkan tepat pada masanya.

Bahagian kerja infrastruktur Malaysia termasuk stesen kereta api, depoh dan 2.7 kilometer jejambat darat dan laut, dikendalikan oleh MRT Corp, anak syarikat Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd.

Pembinaan di sebelah Singapura bermula pada Mac 2021, stesen kereta api itu akan menjadi antara yang terbesar di republik itu apabila siap dan akan menyediakan pautan perjalanan yang lancar ke Laluan Thomson-East Coast dan stesen MRT Woodlands North.

Rapid Transit System Operations Sdn Bhd (RTSO), usaha sama antara Prasarana Malaysia Bhd dan SMRT Corporation Ltd akan menjadi pengendali pautan metro baharu ini.