[VIDEO] Penghantar makanan hina Islam didenda RM50,000

Mohd Nor'muzil (tengah) didenda RM50,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang kerana membuat hantaran jelik menghina agama Islam di aplikasi YouTube.
Mohd Nor'muzil (tengah) didenda RM50,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang kerana membuat hantaran jelik menghina agama Islam di aplikasi YouTube.
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Padah membuat hantaran jelik menghina agama Islam di aplikasi YouTube, seorang penghantar makanan didenda RM50,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang.

Hakim, Ahmad Rizki Abdul Jalil membuat keputusan itu terhadap Mohd Nor'muzil Mohd Razalli pada Khamis.

Mohd Nor'muzil turut diarahkan untuk menjalani hukuman penjara enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Dalam keputusannya, Ahmad Rizki juga meminta tertuduh menginsafi kesalahan tersebut.

"Sebagai seorang yang beragama Islam, kamu perlu bertaubat atas kesalahan yang telah dilakukan," katanya.

Nor'muzil yang memakai baju T hijau dan berseluar jeans sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa bahan kandungan yang dimuat naik tersebut hanyalah untuk dirinya sahaja.

"Sebenarnya video itu di upload untuk diri saya sendiri. Saya mengaku bersalah," katanya.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu mengaku secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik di YouTube dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu dilihat pengadu di hadapan Shell Cyberjaya, jam 11.15 malam pada 16 Julai lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Aka 588].

Nor Azizah dalam hujahan pemberatan hukuman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman serius terhadap tertuduh.

"Kenyataan yang dimuat naik telah mengundang kemarahan rakyat Malaysia sehingga mendorong masyarakat membuat 20 laporan polis di seluruh negara," katanya.

Tegasnya, tindakan tertuduh tersebut jelas untuk menjatuhkan martabat dan kesucian Islam.

"Dalam keadaan anggota masyarakat lain berusaha menyemai keharmonian agar saling menghormati antara satu sama lain, tertuduh telah mencarik kedamaian ini.

Kenyataan yang dibuat itu amatlah malu untuk didengar dan perit untuk diungkatkan," katanya.

Sebelum ini, Mohd Nor'muzil ditahan dan direman selama empat hari selepas kandungan penghinaan tersebut tular di media sosial.