Sasaran penjimatan hingga RM6 bilion: Tengku Zafrul

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - Foto Bernama
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyasarkan anggaran antara RM5 bilion dan RM6 bilion nilai penjimatan daripada baki peruntukan mengurus tahun 2022.

Beliau berkata penjimatan tersebut melibatkan beberapa perkara antaranya pengurangan pembelian barangan import dan perbelanjaan ke luar negara.

"Nilai lima peratus (itu) tidak besar mana, malah kalau dilihat (dalam Bajet 2022), perbelanjaan kita adalah RM332 bilion, perbelanjaan pembangunan pada tahun ini sebanyak RM75 bilion, subsidi mencecah RM77.7 bilion dan kita menjangka mungkin mencecah RM80 bilion.

"Nilai tersebut adalah sedikit, tetapi setiap sen dikira untuk kita membantu rakyat. Oleh sebab itu, kita terpaksa cari cara lain bukan sahaja daripada hasil baru naik seperti harga minyak dan komoditi yang tinggi, tetapi juga dengan cara penjimatan,” katanya ketika ditemui pada sambutan majlis ulang tahun ke-10 studio animasi R&D di sini pada Rabu.

Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa tiada projek yang akan dibatalkan tetapi (mungkin) terdapat projek yang boleh ditangguhkan untuk sementara waktu.

Menjawab persoalan mengenai kemungkinan terdapat cukai baharu yang akan diperkenalkan untuk membantu menambah hasil negara, beliau berkata tiada bentuk cukai baharu yang akan dibuat pada masa ini.

"Ekonomi kita masih lagi dalam keadaan mod pemulihan, justeru, tiada cukai baharu akan diperkenalkan. Bagaimanapun, dalam pengumuman Bajet 2022, dari segi hasil, kita ada memperkenalkan, sebagai contoh Cukai Makmur.

"Kerajaan akan terus fokus membantu kehidupan rakyat dan kelangsungan perniagaan kita,” katanya. - Bernama