PIRECFS jadi panduan rancang, bangunkan hutan fizikal Semenanjung

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS), dasar utama berkaitan perancangan bandar dan desa diluluskan sebagai panduan perancangan serta pembangunan fizikal dan hutan di seluruh Semenanjung.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-40 dipengerusikannya pada Rabu bersetuju meluluskan dasar itu yang merupakan satu inisiatif menghubungkan lapan kompleks hutan utama negara di Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan.

"Ia bagi memelihara kawasan-kawasan hutan di Semenanjung agar wujud satu rangkaian fizikal hutan yang bersambungan di seluruh kawasan CFS, selaras dengan visi ‘reconnecting the forest’.

"Pelan induk ini juga telah mengenal pasti 39 rangkaian ekologi bagi menghubungkan kawasan hutan atau pulau hutan yang tidak bersambungan ekoran berlakunya pemisahan dan pengasingan hutan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ismail Sabri berkata, pelan induk itu juga dapat mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar dengan memastikan laluan semula jadi hidupan liar dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain tidak terhalang dengan aktiviti pembangunan.

Selain itu, komitmen negara untuk mengekalkan 50 peratus kawasan litupan hutan sepertimana yang dipersetujui semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992 juga akan dapat direalisasikan melalui pelaksanaan pelan induk itu menerusi komitmen bersama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Sementara itu, mesyuarat turut mengambil maklum Pelaporan Status Tanah Lapang Awam (TLA) di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Tahun 2020 disediakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui PLANMalaysia.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat meminta kerajaan negeri untuk mempercepatkan proses mewartakan kawasan TLA di seluruh negara serta menyeru agensi-agensi bertanggungjawab di bawahnya untuk mengambil langkah lebih serius dalam menyegerakan pewartaan TLA di bawah Seksyen 62, Kanun Tanah Negara (KTN).

"Jumlah keseluruhan tanah lapang awam di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan ialah 23,433 hektar. Bagaimanapun hanya 33 peratus atau 7,662.6 hektar daripadanya telah diwartakan, 24 peratus (5,738.4 hektar) dalam proses pewartaan manakala selebihnya belum diwartakan,” katanya.

Beliau berkata, pewartaan TLA akan memastikan kawasan itu kekal terpelihara dan berfungsi sebagai kawasan lapang yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat untuk tujuan rekreasi dan riadah ke arah Malaysia yang lebih berdaya huni.

Kerajaan menetapkan sasaran sebanyak dua hektar tanah lapang untuk 1,000 penduduk bandar. - Bernama