Trafik penumpang MAHB naik lebih enam kali ganda

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) merekodkan peningkatan trafik penumpangnya untuk Malaysia lebih enam kali ganda pada separuh pertama 2022 (1H 2022) berbanding tempoh yang sama pada 2021.

MAHB dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, ia mencatatkan 20.25 juta penumpang melalui rangkaian lapangan terbangnya di seluruh negara dari Januari hingga Jun 2022.

Penyambungan semula syarikat penerbangan asing yang aktif dan pembukaan laluan antarabangsa menyumbang kepada prestasi yang menggalakkan itu.

Jumlah pergerakan trafik penumpang Malaysia pada Jun 2022 berjumlah 4.54 juta, membentuk 63 peratus daripada jumlah pergerakan penumpang kumpulan itu sebanyak 7.21 juta, termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen.

Malaysia mencatatkan 1.29 juta penumpang untuk trafik antarabangsa manakala trafik domestik berjumlah 3.24 juta.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, trafik antarabangsa di Malaysia bertambah baik dan ia dapat dilihat menerusi prestasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bulan lepas.

"Jumlah trafik antarabangsa KLIA melepasi paras sejuta penumpang buat kali pertama sejak pandemik.

"Ia merekodkan 1.09 juta penumpang antarabangsa iaitu peningkatan 21 peratus berbanding Mei.

"Lapangan terbang antarabangsa lain dalam rangkaian tempatan kami juga telah mencatatkan peningkatan jumlah penumpang antara 35 peratus dan 66 peratus pada Jun berbanding bulan sebelumnya.

"Kami yakin ia akan bertambah baik dengan lebih banyak penyambungan semula oleh syarikat penerbangan yang beroperasi di lapangan terbang kami," katanya.

Iskandar Mizal menyatakan bahawa MAHB mengalu-alukan empat syarikat penerbangan asing yang memulakan semula operasi di Malaysia pada Jun.

Ia termasuklah Citilink dan Lion Air, terbang dilaluan Medan-Kuala Namu-Pulau Pinang dan Air Busan (BX) serta Jeju Air, yang terbang dilaluan Seoul-Incheon (INC) - Kota Kinabalu (BKI).

Laluan INC-BKI ialah laluan baharu untuk BX. Selain kembalinya syarikat penerbangan asing, kumpulan itu juga menyaksikan permulaan semula laluan semasa prapandemik.

Batik Air memulakan semula laluan Subang (SZB)-Batam dan KL-Denpasar manakala Firefly mengembalikan operasi SZB-Seletar.

Sementara itu, Pakistan International Airlines memperkenalkan laluan baharu yang menghubungkan Lahore ke KL.

Operasi MAHB di Turki kekal konsisten kerana ia merekodkan sejumlah 2.68 juta pergerakan penumpang dengan rekod domestik 1.39 juta dan antarabangsa 1.29 juta, meningkat tiga peratus dari Mei 2022. - Bernama