Agong berkenan lawat FIA 2022 di United Kingdom

Foto Facebook Istana Negara
Foto Facebook Istana Negara
A
A
A
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melawat Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough 2022 (FIA2022) di Farnborough, United Kingdom pada Selasa.

Menurut catatan di laman Facebook Istana Negara hari ini, keberangkatan tiba Seri Paduka pada 10.30 pagi waktu tempatan disambut Pengerusi Farnborough International Paul Everitt dan barisan kepimpinan tertinggi Farnborough International.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Zakri Jaafar.

Dalam lawatan yang berakhir pada 3.45 petang waktu tempatan itu, Seri Paduka berkenan melawat dan menerima sembah taklimat setiap wakil syarikat dan organisasi yang mengambil bahagian.

Seri Paduka turut berkenan melawat Pavilion Malaysia yang diterajui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan disertai 17 syarikat Malaysia, selain tiga agensi kerajaan iaitu Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Negara, Teraju Bumiputera Corporation dan Invest Selangor Berhad.

Selain itu, Seri Paduka juga berkenan bertemu dan menyantuni Menteri Eksport United Kingdom Andrew Griffith.

FIA2022 ialah acara dwitahunan selama seminggu yang bermula 18 Julai, menggabungkan pameran perdagangan untuk industri aeroangkasa dan pertahanan serta pertunjukan udara.

Matrade telah mengambil bahagian dalam pameran dwitahunan ini sejak 2014.

Menurut catatan itu, pada tahun 2021, eksport bahagian dan komponen aeroangkasa Malaysia berjumlah RM5.79 bilion dengan pasaran eksport utama ialah Perancis, China dan United Kingdom. - Bernama