Azalina, Maria dilantik pengerusi kaukus demokrasi pelbagai parti

Barisan ahli Parlimen yang menganggotai Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti ketika sidang media di Parlimen pada Rabu.
Barisan ahli Parlimen yang menganggotai Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti ketika sidang media di Parlimen pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dilantik sebagai pengerusi bersama Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti.

Menerusi dalam satu kenyataan bersama, Azalina dan Maria berkata, pelantikan mereka sebagai konvener kaukus yang baharu ditubuhkan itu diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan pada Selasa.

Jelas kenyataan itu, penubuhan Kaukus adalah bagi menggalakkan dialog, penglibatan dan penyertaan rentas parti di Parlimen untuk isu-isu reformasi institusi terutamanya Dewan Rakyat, selain memudahkan penyertaan orang awam dalam proses parlimen.

"Ia juga penting untuk memupuk dan memandu persaingan pelbagai parti yang sihat dan produktif bagi melahirkan 'udara' demokrasi yang lebih baik di Malaysia.

“Sebagai permulaan, ahli-ahli Kaukus telah bersetuju untuk mengkaji mengenai dan menggerakkan usaha untuk menyemak Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi menambah baik operasi Parlimen.

“Ini termasuk memperkenalkan urusan bukan kerajaan (backbenchers kerajaan dan ahli-ahli pembangkang) serta mempermudahkan Rang Undang-undang (RUU) Ahli Persendirian dan digitalisasi proses-proses Parlimen, memperkasa Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen, serta mengadakan perbincangan atau pendengaran bersama pihak berkepentingan seperti pakar-pakar, masyarakat sivil, media dan orang ramai berkenaan agenda pemerkasaan parlimen dan pengukuhan demokrasi,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Turut menganggotai kaukus itu, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat); Datuk Dr Xavier Jayakumar (Kuala Langat); Anthony Loke Siew Fook (Seremban) dan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Alor Gajah).

Selain itu, Wong Shu Qi (Kluang); Datuk Seri Madius Tangau (Tuaran); Datuk Ignatius Darell Leiking (Penampang); Larry Sng Wei Shien (Julau) dan Baru Bian (Selangau).

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pengerusi itu juga mengambil berat tentang ketidakseimbangan gender dalam kepimpinan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan melihat peri pentingnya untuk barisan Timbalan Yang dipertua di kedua-dua Dewan menggambarkan kepelbagaian dalam gender, wilayah dan kepartian.

“Kami seluruh ahli Kaukus ini amat berharap semoga platform ini dimanfaatkan seoptimumnya oleh semua pihak dalam usaha memperkasakan peranan sebenar para ahli Parlimen terutamanya backbenchers kerajaan dan ahli-ahli pembangkang selaku pembuat undang-undang dan dasar negara sekaligus menjadikan institusi Parlimen benar- benar profesional dan bertaraf dunia,” katanya.