BaktiRAKYAT bersihkan pantai Terengganu

Aktiviti plogging dan pembersihan pantai di lima lokasi itu telah berjaya mengutip sampah berjumlah 3.68 tan keseluruhannya.
Aktiviti plogging dan pembersihan pantai di lima lokasi itu telah berjaya mengutip sampah berjumlah 3.68 tan keseluruhannya.
A
A
A

SHAH ALAM - Bank Rakyat menerusi program BaktiRAKYAT telah menganjurkan aktiviti plogging dan pembersihan kawasan pantai di lima lokasi di sekitar negeri Terengganu, baru-baru ini.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, antara lokasi yang terlibat menjayakan program itu ialah Pantai Panchakan, Kuala Besut, Pantai Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Pantai Angin Berbisik, Merchang, Pantai Tanjung Jara, Dungun dan Pantai Kuala Kemaman.

Menurut kenyataan itu, aktiviti plogging dan pembersihan pantai di lima lokasi itu telah berjaya mengutip sampah berjumlah 3.68 tan keseluruhannya.

“Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dalam usaha memelihara alam sekitar yang mana merupakan tanggungjawab Keluarga Malaysia.

“Aktiviti plogging ini yang merupakan aktiviti joging dan memungut sampah melibatkan lebih 811 peserta yang terdiri daripada warga kerja Bank Rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Geng Plastik Ija (GPI) serta agensi kerajaan,” jelas kenyataan itu pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, BaktiRAKYAT merupakan program kesukarelawanan yang bertunjangkan kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang mana memfokuskan aspek pembangunan komuniti, kesihatan, sosioekonomi dan khidmat sokongan.

“Inisiatif ini juga seiring dengan aspirasi Rangka Tindakan Kelestarian yang dirangka menerusi pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) untuk meningkatkan nilai kerjasama, memupuk semangat berkumpulan, mengikis sikap pentingkan diri dan cakna kepada persekitaran budaya komuniti serta alam sekitar bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia,” kata kenyataan itu.