Perkeso, PPZ-MAIWP meterai MoU Program Sinergi Sosial

Mohammed Azman (kiri) dan Abdul Hakim (kanan) bertukar dokumen MoU antara Perkeso dan PPZ-MAIWP di Menara Perkeso, Kuala Lumpur pada Rabu.
Mohammed Azman (kiri) dan Abdul Hakim (kanan) bertukar dokumen MoU antara Perkeso dan PPZ-MAIWP di Menara Perkeso, Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) pada Rabu memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama menyediakan perlindungan keselamatan sosial yang lebih holistik, efektif dan menyeluruh kepada rakyat Malaysia menerusi Program Sinergi Sosial.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kerjasama yang dijalinkan turut meliputi bidang lain seperti perkongsian data, pengurusan dana wakalah, promosi kesedaran pembayaran zakat, perlindungan keselamatan sosial pekerjaan sendiri dan intervensi pasaran buruh.

"Kami amat terharu apabila dimaklumkan PPZ-MAIWP sudi menyalurkan dana wakalah yang diuruskan mereka untuk menampung bayaran baki sebanyak 20 peratus daripada caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri kepada usahawan asnaf di seluruh negara, di bawah program SPS Padanan Caruman.

"Bertemakan Prihatin Melangkaui Ekspektasi, Kesejahteraan Rakyat Keutamaan Kami, program ini merupakan inisiatif murni bagi penyelesaian permasalahan sosioekonomi dan isu kebajikan rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis menandatangani MoU di Menara Perkeso di sini pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berharap agar MoU berkenaan sedikit sebanyak mampu memberi kesedaran dan meningkatkan kutipan zakat dalam kalangan majikan mahupun anggota Perkeso.

Katanya, melalui kerjasama itu juga, PPZ-MAIWP turut menawarkan Skim Wakalah atau Dasar Pengembalian Semula Wang Zakat sebanyak 25 hingga 50 peratus oleh MAIWP.

"Pengembalian semula wang zakat ini boleh dimanfaatkan kepada golongan kurang berkemampuan.

"Justeru, kami amat menggalakkan lebih ramai kakitangan, majikan dan anggota Perkeso untuk membuat serta menambah potongan zakat bulanan supaya lebih banyak pulangan wakalah dapat diberikan, seterusnya memastikan golongan asnaf mendapat kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain.

"Antara kelebihan lain menunaikan zakat di PPZ-MAIWP ialah pembayar boleh mendapat 100 peratus rebat cukai pendapatan individu dan potongan Zakat Bulanan (PZB) boleh diselaraskan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB) bagi mereka yang membayar zakat melalui potongan gaji," ujar beliau.