Polis terima dua laporan kes simbah cat di kelab komedi, bank

Polis
Polis
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah bank terkena simbahan cat yang dibaling ke arah sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, siasatan dijalankan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

"Semakan CCTV mendapati terdapat dua lelaki menaiki kereta jenis Proton Waja telah membaling dua plastik berisi cat merah dan hitam ke arah papan tanda kelab komedi tersebut.

"Namun, sebahagian daripada cat hitam yang dibaling ke kelab komedi itu telah terkena pada pintu utama bank yang terletak berhampiran," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, rakaman CCTV yang diperoleh akan dihantar ke Jabatan Forensik PDRM untuk mendapatkan analisis pakar.

"Setakat ini dua laporan polis diterima berkaitan kejadian iaitu daripada seorang lelaki berumur 50 tahun yang merupakan pekerja bank dan laporan kedua dibuat oleh seorang lelaki berumur 39 tahun yang merupakan pemilik kelab komedi tersebut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Kelab komedi itu terpalit kontroversi selepas tular video berdurasi 54 saat memaparkan seorang wanita menanggalkan tudung dan pakaian ketika membuat persembahan stand up comedy (komedi solo) sekali gus menerima kecaman daripada orang ramai.

Pada 13 Julai lalu, wanita terbabit, Siti Nuramira Abdullah, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam ketika melakukan persembahan di kelab komedi berkenaan pada 4 Jun lalu.