Sultan Johor adakan lawatan dua hari ke Singapura

Sultan Ibrahim
Sultan Ibrahim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah akan berangkat ke Singapura bagi lawatan rasmi pada Rabu.

Menerusi muat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Selasa, lawatan rasmi ke republik itu merupakan jemputan rasmi Perdana Menteri Singapura, Datuk Lee Hsien Loong.

Turut mengiringi baginda berdua ialah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, dan isteri Che Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Pada Disember lalu, Hsien Loong telah mempersembahkan surat jemputan lawatan rasmi menerusi Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan pada ketika mengadap Sultan Ibrahim di Johor Bahru.

Hubungan Johor dan Singapura terus diperkukuhkan pada Mei lalu, apabila Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan darjah kebesaran tertinggi Istana Johor kepada Hsein Long dan isteri, Ho Ching.

Baginda berkenan mengurniakan kepada Hsein Loong, Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J.).

Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama, Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (S.M.I.J.) kepada isteri Perdana Menteri Singapura, Datin Paduka Ho Ching.

Bersempena lawatan rasmi itu, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah akan disambut Hsein Loong dan isteri beserta Menteri Kabinet Singapura sebaik baginda dan legasi delegasi DiRaja Johor tiba di Istana pada Rabu yang merupakan pejabat rasmi Presiden dan Perdana Menteri Singapura.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah juga akan mengadakan kunjungan ke atas Presiden Singapura, Halimah Yacob di Istana.

Sultan Ibrahim akan turut dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Undang-Undang dari National University of Singapore (NUS) oleh Halimah yang juga Canselor NUS sebagai mengiktiraf sumbangan baginda terhadap penambahbaikan hubungan dua hala antara Johor dan Singapura.

Taman Botani Singapura turut akan mempersembahkan orkid khas yang dinamakan sempena baginda berdua - 'Ibrahim Zarith', sebagai penghormatan di atas lawatan rasmi berkenaan. Bunga Orkid merupakan bunga kebangsaan Singapura.

Bersempena lawatan rasmi selama dua hari, Sultan Ibrahim dijangka berangkat ke beberapa acara termasuk lawatan ke tapak Projek RTS di Woodlands, Institut Yusof Ishak (ISEAS) dan Pangkalan Udara Sembawang.

Raja Zarith Sofiah akan berangkat mengadakan lawatan ke APSN Delta Senior School serta Muzium Tamadun Asia.