Kerajaan ambil tiga pendekatan atasi kekurangan pekerja asing

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan mengambil tiga pendekatan dalam usaha mengatasi masalah kekurangan pekerja asing di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mendengar keluhan dan pandangan daripada pemain industri dan akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan melalui sesi libat urus yang berterusan.

"Kerajaan kekal komited bagi mendepani isu dan cabaran pengambilan pekerja asing dengan mengambil beberapa pendekatan.

"Pertama, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama pihak industri, persatuan perniagaan dan pihak berkenaan mengadakan pertemuan secara bersemuka bagi menyelesaikan isu-isu pengambilan pekerja asing sehingga penghujung bulan Julai ini.

"Kedua, para majikan digesa untuk mempertimbangkan pengambilan pekerja asing dari negara sumber yang telah diluluskan dan tidak bergantung kepada negara sumber tradisi sahaja.

"Ketiga, KSM digesa mempercepatkan pelaksanaan proses temuduga majikan dengan menambah bilangan penemu duga di One Stop Centre (OSC) mengikut zon dan negeri-negeri," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi pada Selasa.

Mesyuarat tersebut turut membincangkan mengenai mengurangkan kerenah birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan awam dan sekuriti makanan

Beliau berkata, mesyuarat mengambil maklum prestasi program MyMudah yang telah dilaksanakan di peringkat kementerian oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi mengurangkan kerenah birokrasi.

"Namun, masih banyak rungutan diterima daripada pihak industri. Oleh itu, MPC diminta menyelesaikan isu-isu berkaitan kerenah birokrasi melalui pengukuhan program MyMudah.

"Sebanyak 30 peratus isu-isu yang diterima melalui MyMudah telah diselesaikan dalam masa kurang daripada 60 hari seperti mana yang disasarkan. Sehubungan itu, kerajaan turut menggesa MPC berusaha untuk menyelesaikan kes-kes kompleks dalam tempoh 60 hari juga," katanya.

Menurutnya, mesyuarat bersetuju supaya MPC menyegerakan penubuhan Unit MyMudah bagi kementerian yang belum melaksanakannya.

"Tumpuan juga perlu diberikan kepada penubuhan MyMudah di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memastikan isu-isu birokrasi di peringkat tersebut dapat ditambah baik.

"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan diminta melaksanakan program-program berkaitan sekuriti makanan negara yang telah dipersetujui kerajaan dengan segera," katanya.