'Cikgu' kutip botol arak, pasang kain rentang

Syed Mohd Aizuddin menunjukkan beberapa botol arak yang dikutip sekitar tanah lapang di Seksyen 5, Jasin Bestari.
Syed Mohd Aizuddin menunjukkan beberapa botol arak yang dikutip sekitar tanah lapang di Seksyen 5, Jasin Bestari.
A
A
A

JASIN - Tindakan seorang penduduk mengutip botol-botol minuman keras yang membahayakan dan mencacatkan pemandangan di Taman Perumahan Penjawat Awam Seksyen 5, Jasin Bestari di sini, seharusnya menerima pujian.

Syed Mohd Aizuddin Tuan Sembak atau dikenali sebagai Cikgu Syed turut memasang kain rentang memaparkan perkataan 'Jangan minum arak di sini! Kawasan ini majoriti Melayu, sila hormat' di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kesal apabila kawasan perumahan itu dijadikan 'port' minuman keras secara terbuka sekali gus menimbulkan perasaan tidak tenteram dalam kalangan penduduk.

"Bukan sekali ini saya mengutip botol arak, malah minggu lepas beberapa botol lagi turut dikutip.

"Mereka yang melakukan perbuatan ini pada waktu malam dan pernah 3 pagi, bila dah mabuk mereka buang botol arak merata," katanya kepada Sinar Harian.

Syed Mohd Aizudin yang aktif terlibat dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), memohon supaya pihak berwajib mewujudkan peruntukan undang-undang khas serta penguatkuasaan berkenaan larangan minum arak di tempat awam.

Menurutnya, kebenaran minum hanya tertakluk di premis yang mendapat kebenaran penjualan sahaja atau kediaman peribadi.

"Langkah ini dapat menjaga keharmonian masyarakat dan tidak mengundang kepada perkara yang tidak diingini.

"Penjualan dan perbuatan minum arak tidak boleh dilakukan secara terbuka," katanya.

Ujarnya, peraturan sebegini mudah untuk dikuatkuasakan dan percaya rakyat pasti akan menyokong keputusan tersebut.