Keupayaan negara tambah tahap keberhutangan terhad

Keupayaan Malaysia untuk menambah tahap keberhutangan adalah terhad berbanding negara lain. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
Keupayaan Malaysia untuk menambah tahap keberhutangan adalah terhad berbanding negara lain. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keupayaan Malaysia untuk menambah tahap keberhutangan adalah terhad berbanding negara lain dengan nisbah bayaran khidmat hutang jauh lebih rendah seperti negara maju, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, nisbah bayaran khidmat hutang kepada hasil bagi Malaysia telah mencapai paras 16.3 peratus pada 2021 dan berdasarkan Bajet 2022, ia dijangka melebihi 18 peratus.

"Ini bermakna bagi setiap RM1 hasil kerajaan, hampir 20 sen digunakan hanya untuk pembayaran faedah atau bunga hutang dan tidak mengambil kira pun keupayaan untuk membayar balik jumlah pokok pinjaman kerajaan,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) sama ada tahap keberhutangan Malaysia masih di paras terurus dan mengapa kerajaan enggan terus meminjam untuk membantu rakyat.

Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa kebolehan sesebuah negara meningkatkan jumlah pinjamannya bukanlah bergantung semata-mata ke atas nisbah hutang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), tetapi faktor paling utama adalah kemampuan keberhutangan serta kemampanan hutang.

Menurutnya, kadar hutang kepada KDNK di Malaysia hanya di tahap 63 peratus manakala negara maju seperti Jepun mempunyai kadar hutang sebanyak 263 peratus daripada KDNK dan Singapura pada kadar 133 peratus.

"Di samping itu, nisbah peratusan cukai kepada KDNK untuk Malaysia adalah pada paras sekitar 11 peratus iaitu lebih rendah berbanding negara lain seperti Filipina 18 peratus, Thailand 17.2 peratus dan Singapura 13.3 peratus,” katanya.

Secara purata, Tengku Zafrul berkata nisbah peratusan cukai kepada KDNK bagi negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) adalah melebihi 33 peratus.

"Ini bermakna walaupun ekonomi negara semakin pulih pada 2022, pertumbuhan ekonomi tersebut tidak menjana hasil tambahan yang sewajarnya untuk menampung penambahan hutang,” kata beliau. - Bernama