Pengujian mekanisme beri subsidi petrol masih di peringkat awal

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan masih di peringkat awal pengujian mekanisme pemberian subsidi petrol secara bersasar, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, ia kemudiannya akan disusuli dengan pengujian yang lebih meluas dari segi beberapa kaedah lain.

Menurutnya, bagi menguji kebolehlaksanaan mekanisme tersebut ia bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga di kawasan luar bandar.

“Pembangunan dan pengujian sistem subsidi bersasar dijangka memerlukan tempoh di antara tiga hingga enam bulan sebelum betul-betul bersedia untuk dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang bertanyakan bila kerajaan bercadang untuk memulakan inisiatif pemberian petrol secara berdasar dan apakah langkah yang akan diambil bagi memastikan harga barangan dan inflasi terkawal.

Tengku Zafrul berlata, dalam pelaksanaan subsidi bersasar, kerajaan akan merancang secara berfasa bagi memastikan ia tidak mengakibatkan inflasi secara mendadak atau menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi.

“Ini selaras dengan pendekatan yang telah diambil oleh kerajaan untuk ayam di mana bagi mengurangkan herotan pasaran (market distortions), kerajaan telah meningkatkan harga siling ayam sebanyak 50 sen sekilogram, tetapi pada masa yang sama memberi bantuan tunai tambahan kepada golongan B40," katanya.

Tegasnya, kerajaan juga tidak akan menaikkan harga petroleum terus harga pasaran tanpa subsidi memandangkan impaknya kepada inflasi.

“Walaupun harga RON95 pada RM2.05 seliter adalah lebih kurang 50 peratus daripada kos atau harga sebenar tanpa subsidi

“Dengan itu, strategi kerajaan adalah untuk memastikan pelaksanaan menggantikan subsidi secara pukal dengan kombinasi subsidi bersasar dan bantuan tunai secara berperingkat,” katanya.