[VIDEO] Hina agama: Jawi tahan Siti Nuramira, didakwa esok

Nuramira dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni di kalangan sesama Islam pada Rabu lalu.
Nuramira dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni di kalangan sesama Islam pada Rabu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Selepas dilepaskan dengan ikat jamin di Mahkamah Sesyen di sini, wanita yang menimbulkan kontroversi semasa membuat persembahan di sebuah kelab komedi minggu lalu ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada jam 10.30 pagi, Selasa.

Siti Nuramira Abdullah, 26, ditahan penguat kuasa Jawi selepas menandatangani Borang Jamin ditemani peguamnya, Ramesh Chandran.

Mengikut prosedur, wanita itu akan ditahan oleh Jawi selama 24 jam sebelum didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah pada Rabu.

Dia akan dituduh mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Bahagian III-Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam dan Institusinya membabitkan kesalahan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.

Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan, Siti Nuramira dan teman lelakinya, V Alexander Navin, 38, selesai membayar ikat jamin berjumlah RM40,000 melalui hasil kutipan sumbangan orang ramai, menggunakan akaun pertuduhan bukan kerajaan (NGO), hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL).

Pada 13 Julai lalu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni di kalangan sesama Islam.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mengaku seorang Muslim, telah menghafal 15 juzuk al-Quran, bertindak membuka tudung dan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.

Sementara di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor, Alexander Navin, 38, turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik di laman sosial Instagram serta YouTube, bulan lalu.

Minggu lalu, satu video berdurasi 54 saat tular di media sosial memaparkan seorang wanita mendakwa dirinya beragama Islam, menghafaz 15 juzuk al-Quran, bertindak menanggalkan baju kurung serta tudung, dan hanya memakai pakaian mencolok mata sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen.

Susulan itu, wanita itu ditahan di Jalan Gasing, Petaling Jaya pada 9 Julai lalu dan direman selama tiga hari, manakala Alexander Navin ditahan pada 10 Julai.