Kes HFMD di Kelantan meningkat 27 kali ganda

Kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Kelantan semakin meningkat.
Kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Kelantan semakin meningkat.
A
A
A

KOTA BHARU - Kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di Kelantan meningkat 27 kali ganda pada tahun ini berbanding dengan tempoh yang sama sehingga minggu epidemiologi (ME) ke-28 (Epid 28) pada tahun lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, jumlah kumulatif kes HFMD yang dilaporkan pada tahun ini ialah sebanyak 7,078 kes jika dibandingkan tahun lalu hanya 261 kes.

"Namun tren tersebut dilihat semakin menurun pada minggu epid 28 ini iaitu penurunan sebanyak 58.5 peratus berbanding minggu epid 27.

"Manakala dari segi kejadian wabak, sebanyak 25 wabak HFMD telah dilaporkan sehingga minggu epid 28 pada tahun ini berbanding hanya satu wabak sahaja dilaporkan bagi tempoh yang sama pada tahun lalu," katanya ketika menjawab soalan Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kota Darul Naim di sini, pada Selasa.

Menurutnya, tiada wabak baharu dilaporkan pada minggu epid 28 dan wabak HFMD terakhir yang dilaporkan pada tahun ini adalah pada minggu epid 24.

Katanya, sebahagian besar wabak yang dilaporkan adalah melibatkan taska dan pusat jagaan kanak-kanak.

Beliau berkata, daripada jumlah kes HFMD yang dilaporkan pada tahun ini majoriti kes adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur 1 hingga 4 tahun iaitu sebanyak 68 peratus.

Dr Izani berkata, secara keseluruhan 90.3 peratus dari kes yang dilaporkan adalah berumur 6 tahun dan ke bawah.

"Kota Bharu mencatatkan kes paling tinggi iaitu 2,968 kes diikuti Pasir Mas (610) dan Pasir Puteh (561)," katanya.