Impak positif NFDP

Barisan pemain muda negara menjalani latihan ketika menghadapi Kejuaraan B-19 AFF 2022 di Indonesia baru-baru ini.
Barisan pemain muda negara menjalani latihan ketika menghadapi Kejuaraan B-19 AFF 2022 di Indonesia baru-baru ini.
A
A
A

PROGRAM Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) kembali ‘meletup’ susulan prestasi cemerlang skuad Bawah (B-19) tahun negara pada Kejuaraan B-19 AFF 2022 di Indonesia sehingga bergelar juara.

Kejayaan tersebut nyata membanggakan penyokong bola sepak tempatan menganggap skuad kendalian Hassan Sazali Waras itu sebagai barisan pelapis berkaliber kepada skuad senior Harimau Malaya suatu hari nanti.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif NFDP, Safirul Azli Abu Bakar berkata, program itu semakin membuahkan hasil daripada beberapa kejayaan yang dilakar skuad Harimau Muda, tidak kira di peringkat B-19 atau B-23.

“Selain kejayaan skuad muda negara muncul juara AFF B-19 edisi 2018 dan 2022, kejayaan pasukan B-23 negara yang mara secara merit ke Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan juga sebenarnya satu kejayaan besar buat bola sepak Malaysia.

“Ini secara tidak langsung membuktikan pemain-pemain muda yang menyertai NFDP sudah berjaya menunjukkan potensi masing-masing sehingga mampu menjadi tonggak skuad B-19 mahupun B-23.

“Cuma yang penting di sini adalah untuk memastikan kesinambungan daripada skuad muda negara sehinggalah skuad senior perlu diberikan perhatian serius agar kejayaan ini berterusan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Untuk rekod, skuad muda negara mempunyai rekod baik dalam tiga edisi terakhir Kejuaraan B-19 AFF apabila muncul juara pada 2018 selain bergelar naib juara edisi 2017 dan 2019.

Pada edisi kali ini, seramai 21 daripada 25 pemain yang membarisi skuad B-19 negara ‘lahir’ daripada NFDP yang mula ditubuhkan pada tahun 2014.

Untuk rekod, tujuh pemain merupakan generasi 2003 Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD); lapan pemain (2004) dan tiga pemain (2005).

Tiga pemain lagi masing-masing hadir daripada Pusat Latihan Daerah (PLD) Kuala Selangor, PLD Pasir Puteh dan Sekolah Sukan Negeri Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai beberapa pemain muda yang kini mencipta nama di peringkat senior seperti tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Ariff Aiman Hanapi, Safirul berkata, ia satu perkembangan positif buat bola sepak Malaysia.

“Sekiranya seseorang pemain itu berjaya menunjukkan prestasi yang baik biarpun masih berusia bawah 23 tahun, dia sememangnya layak untuk beraksi dengan skuad senior negara.

“Kalau dah main bagus dan boleh bersaing dengan pemain yang lebih senior, seseorang pemain itu perlu diberikan peluang beraksi di peringkat lebih tinggi termasuklah mendapat tempat dalam skuad senior.

“Kenyataan saya ini merujuk kepada Ariff Aiman yang juga produk NFDP ini. Sebab itu saya katakan bahawa laluan menuju ke arah kejayaan itu sudah nampak ketika ini,” ujarnya.