Sasar harga minyak masak turun 10 peratus: Annuar

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi menyasarkan harga minyak masak diturunkan 10 peratus lebih rendah daripada harga yang dijual kini dalam masa dua minggu susulan penurunan harga minyak sawit.

Pengerusi pasukan khas itu, Tan Sri Annuar Musa justeru berharap pihak industri dan termasuk pengilang akan bekerjasama untuk menurunkan harga minyak masak dalam tempoh berkenaan.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, ketika ini harga minyak masak yang tidak disubsidi masih berada pada paras harga yang agak tinggi.

"Jadi kita bersetuju untuk sekali lagi kita mohon kerjasama untuk semua pengilang dan dalam masa seminggu dua daripada sekarang kita ingin melihat harga minyak masak diturunkan kepada satu paras sekurang-kurangnya 10 peratus lebih rendah daripada harga ianya dijual.

Kita sangat memerlukan kepada persefahaman di peringkat kilang-kilang, sepantas mana mereka menaikkan harga sewaktu harga minyak dulu, saya harap sepantas itu jugalah mereka kena segera menurunkan harga apabila harga minyak (sawit) telahpun turun," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat keempat pasukan khas itu.