Masih belum terima laporan MyCC isu kartel ayam

Annuar (kiri) ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pasukan khas itu di Parlimen. -Foto Bernama
Annuar (kiri) ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pasukan khas itu di Parlimen. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) belum mengemukakan laporan terkini kepada Jawatankuasa Pasukan Jihad Tangani Inflasi berhubung hasil siasatan dakwaan wujud kartel dalam industri ayam di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya juga masih meneliti keperluan untuk memanggil suruhanjaya itu untuk memberikan kemas kini hasil siasatan yang dijalankan.

“Kita cuma tahu secara umum berdasarkan kepada perbincangan-perbincangan dan kita tahu siapa pemain utama industri (ayam) dan sebagainya.

“Sama ada ia terwujud sebagai kartel dalam bentuk negatif, maksudnya kartel ada juga yang sihat. Kalau berpakat hendak turunkan harga, berpakat hendak memudahkan pengguna kartel itu adalah baik.

“Tapi yang kita maksudkan ini kartel (negatif ini adalah) bertindak semata-mata hendak memaksimumkan keuntungan dengan membiarkan pengguna menanggung akibat kerana mereka menguasai segala-galanya,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Parlimen di sini pada Isnin.

Pada 28 Jun lalu, MyCC menerusi pasukan khasnya mendedahkan sedang menilai laporan penyiasatan mengenai dakwaan kartel dalam industri ayam.

MyCC dalam kenyataan memaklumkan, suruhanjaya yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus dan lapan anggota MyCC bersidang semalam, untuk pembentangan laporan penyiasatan oleh pasukan khas berkenaan.

Menurut suruhanjaya itu, jika terdapat bukti kartel, keputusan cadangan mengikut Seksyen 36 Akta Persaingan 2010 akan dikeluarkan terhadap pihak berkenaan, namun jika tiada bukti yang menunjukkan unsur-unsur pelanggaran, MyCC akan menutup penyiasatan selaras dengan Seksyen 16 akta sama.