Saravanan tiada maklumat tangkapan ahli MIC

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada maklumat diterima mengenai penahanan ahli parti MIC berhubung penyelewengan Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya), kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Menurutnya, tiada sebarang operasi dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kementerian Sumber Manusia.

"Tiada sebarang operasi dijalankan SPRM di kementerian. Saya sudah kata semalam yang saya tidak ada laporan itu tetapi saya cuma katakan sekiranya ada orang MIC kena tangkap jangan kaitkan dengan MIC.

"Setakat ini saya tiada maklumat, siapa kena tangkap, siapa belum tangkap sila minta dekat SPRM, saya tiada jawapan," kata Timbalan Presiden MIC itu dalam sidang akhbar di Bukit Aman pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal tempatan yang mendakwa 40 kakitangan Kementerian Sumber Manusia dan Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah disoal siasat dalam serbuan SPRM, di Putrajaya, pada Isnin.

Setakat Isnin, SPRM sudah menahan 42 individu berhubung kes penyelewengan Penjana Kerjaya.

SPRM dilaporkan menyiasat beberapa syarikat dan individu dan menjangka membuat beberapa tangkapan lain selepas menahan 37 individu dalam Op Hire.

Antara yang ditahan terdiri pengarah, pemilik, pengurus dan jurutera melibatkan 26 lelaki dan 11 wanita berusia antara 28 hingga 70 tahun daripada 64 buah syarikat sendirian berhad.

Program Penjana Kerjaya merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa mendepani cabaran Covid-19 bermula awal tahun 2020.

Program ini dilaksanakan oleh Perkeso bagi tujuan merangsang ekonomi negara dengan mewujudkan pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran.