SPRM tahan 37 individu libat tuntutan palsu RM100 juta

Antara suspek ditahan SPRM menerusi Op Hire di seluruh negara kerana menyeleweng dana Insentif Program Penjana Kerjaya. - Foto SPRM
Antara suspek ditahan SPRM menerusi Op Hire di seluruh negara kerana menyeleweng dana Insentif Program Penjana Kerjaya. - Foto SPRM
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 37 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes tuntutan palsu dana insentif Program Penjana Kerjaya di seluruh negara melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM100 juta

SPRM dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, kesemua suspek terdiri daripada 26 lelaki dan 11 wanita ditahan menerusi Op Hire yang dijalankan di Johor, Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Perlis, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 66 buah syarikat disyaki terlibat dalam penyelewengan tersebut, manakala sebanyak RM7 juta wang dibekukan menerusi 36 akaun bank milik syarikat yang disyaki terbabit dengan penipuan itu.

"Kesemua suspek berusia antara 28 hingga 70 tahun terdiri daripada pemilik syarikat, pengarah, pengurus dan pemilik saham syarikat.

"Turut ditahan adalah jurutera dan kakitangan eksekutif syarikat terbabit menerusi Op Hire dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)," menurut kenyataan tersebut.

SPRM berkata, seramai 11 suspek ditahan di Putrajaya, Kedah (satu), Kuala Lumpur (tiga), Negeri Sembilan (empat), Selangor (lima), dan masing-masing dua di Pahang, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Perlis serta Johor.

Katanya,kesemua suspek terbabit direman antara tiga ke tujuh hari di Mahkamah Majistret Putrajaya, Selangor, Johor, Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Perlis, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

"Beberapa tangkapan akan dibuat lagi dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes yang sama.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009," ujarnya.