Piala emas SSL: Malaysia layak ke siri final di Bahrain

The Monsoon
The Monsoon
A
A
A

MALAYSIA melayakkan diri ke siri final Piala Emas Liga Pelayar (SSL) di Bahrain, meskipun menamatkan perlumbaan terakhir di Switzerland Ahad lepas di tempat ketiga.

Menurut kenyataan pasukan SSL Malaysia pada Isnin, The Monsoon menjadi skuad kedua daripada Kumpulan 7, Pusingan 5 yang layak ke siri final dijadualkan pada November ini selepas pasukan Afrika Selatan.

Pada akhir perlumbaan empat hari itu yang bermula Khamis lepas, Malaysia mengumpul 12 mata manakala India mendapat 11 mata untuk masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.

Afrika Selatan secara rasmi menempah tiket ke Bahrain pada Sabtu selepas mengumpul tiga mata maksimum dalam empat perlawanan, sekali gus muncul juara bagi Kumpulan 7 dengan 19 mata.

Pasukan itu yang juga dikenali sebagai ‘Ubuntu’ memasuki perlumbaan pada Ahad tanpa sebarang tekanan untuk merekodkan enam lagi mata pada perlumbaan akhir selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 46:49 saat (s).

India hanya ketinggalan 1.20s di belakang Afrika Selatan untuk tempat kedua manakala Malaysia yang merupakan pasukan pada ranking terendah dalam Kumpulan 7 iaitu nombor 61 dunia, mencatatkan 2.39s lebih lambat daripada pemenang namun berjaya mendapatkan tempat untuk ke siri final.

"Kami layak untuk final di Bahrain meskipun meraih tempat ketiga, namun ia sudah cukup. Kami kini akan fokus pada Bahrain, buat lebih baik di sana dan kami berterima kasih kepada mereka yang menyokong kami,” kata pelayar kebangsaan Khairulnizam Mohd Afendy.

Kumpulan lain yang telah layak adalah Ukraine, Thailand, Oman, Cuba, Peru, Chile, Portugal, Republik Czech, Slovenia, Lithuania, Estonia, Ireland, Antigua dan Barbuda dan Tahiti. - Bernama