'Sudah cuba hubungi Rizal, Siti Amirah tapi belum ada respons'

 Nasrudin
Nasrudin
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) masih lagi dalam proses menghubungi pihak pemilik kelab komedi Crackhouse, Rizal Van Geyzel dan wanita yang didakwa menghina Islam, Siti Amirah Natasha Abdullah.

Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan berkata, kedua-dua pihak individu tersebut masih belum dapat dihubungi dan belum diketahui lagi mengenai status mereka.

“Kita sudah cuba menghubungi mereka beberapa hari yang lalu, tetapi masih belum dapat respons lagi. Kita pun belum tahu bagaimana status mereka, jadi kita masih mencari ruang untuk berjumpa,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Ulas beliau, pihaknya akan terus cuba menghubungi mereka bagi membincangkan mengenai isu tersebut.

“Pertemuan itu bermaksud untuk kita memberikan penjelasan tentang apa sebenarnya Islam, memberi penjelasan mengenai perbuatan mereka yang merupakan satu kesalahan dalam ajaran Islam dan tak sepatutnya dilakukan.

“Kemudiannya mungkin kita akan melihat apa sebenarnya masalah yang dihadapi oleh mereka sehingga mereka sewenang-wenangnya menjadikan Islam sebagai bahan jenaka,” ujarnya.

Sebelum ini, tular satu video di media sosial memaparkan wanita itu membuka pakaiannya di hadapan penonton selepas mengaku seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran.

Siti Amirah, 28, dan teman lelakinya yang berkongsi rakaman video itu telah didakwa di mahkamah selain Rizal, 39, turut ditahan susulan penularan tiga klip video didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan di kelab komedi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Yadim berhasrat untuk bertemu dengan Rizal dan Siti Amirah.